Berkonvoi, bercuti di pantai peranginan



MOTOSIKAL model Yamaha Virago itu dibelai tidak ubah seperti kekasih hati. Saban hari, Jamaluddin Mahmut, 60, pasti membersih dan mengilatkan motosikal yang dibelinya sejak 15 tahun lalu.

Jika mempunyai waktu lapang, dia akan menunggang motosikal berkuasa tinggi itu di sekitar kediamannya di Kuantan, Pahang bagi tujuan memanaskan enjin.

Ibarat seperti orang bercinta yang ingin bersiar-siar bersama kekasih pada hujung minggu, Jamaludin turut memasang impian itu terhadap motosikalnya.

Bapa kepada lapan orang cahaya mata itu berhajat untuk mengembara ke destinasi percutian menarik. Tambahan pula, dia sudah beberapa bulan tidak mengembara bersama motosikal itu.

Kebetulan, salah seorang rakan daripada rakan dalam kelab Virata Custom mengajaknya menyertai konvoi ke Port Dickson International Bike Fest (PDIBF) 2017.

Festival yang diadakan di Mayang Sari Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan itu merupakan perhimpunan terbesar bagi penggemar motosikal berkuasa tinggi di Malaysia.

Tanpa berfikir panjang, Jamaluddin terus bersetuju untuk menyertai festival yang berlangsung selama tiga hari dua malam itu.

“Ini kali kedua saya menyertai konvoi bersama kelab ke festival tersebut selepas kali pertama melakukannya dua tahun lalu. Saya sentiasa menantikan festival ini.

“Ia memberi peluang kepada saya dan rakan-rakan dalam kelab dari Kuantan datang ke sini (Port Dickson) menggunakan motosikal masing-masing,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

PDIBF 2017 berjaya mengumpul seramai 15,000 penunggang motosikal berkuasa tinggi dari seluruh negara dan seberang laut.

Berkorban


SEORANG pengunjung melihat topi keledar yang dipamerkan di sebuah gerai jualan.


Menurut Jamaluddin, dia sanggup berkorban masa dan wang ringgit semata-mata mahu berkonvoi bersama rakan-rakan ke PDIBF 2017.

Jelasnya, ini kerana festival itu memberi peluang kepadanya untuk bertemu dan berkongsi pengalaman bersama penggemar motosikal berkuasa tinggi yang lain.

“Bajet saya untuk konvoi ke festival ini lebih kurang RM1,000. Jumlah ini termasuk minyak, inap desa, makanan dan minuman serta baju-T PDIBF 2017.

“Pada saya, ia sangat berbaloi kerana dapat bertemu dengan rakan-rakan baharu selain mendengar pengalaman-pengalaman menarik daripada mereka,” ujar usahawan itu.

Festival yang memasuki tahun ke-15 itu dianjurkan oleh Southern Dragon Motor Club (SDMC) dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan.

Presiden SDMC, Azhar Abdul Aziz berkata, pihaknya sangat teruja kerana PDIBF dikunjungi hampir 500 kelab motosikal tempatan pada tahun ini.

Katanya, mereka turut menerima kunjungan daripada penunggang motosikal berkuasa tinggi dari luar negara seperti Amerika Syarikat, Thailand, Singapura dan Australia.

“Kehadiran penunggang motosikal bertambah 5,000 orang berbanding tahun lalu. Pada tahun lalu, jumlah penunggang yang hadir adalah 10,000 orang.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada rakan-rakan penunggang dari luar negara yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk PDIBF 2017,” katanya.

Menariknya, penganjuran program bertaraf antarabangsa itu dijadikan salah satu acara utama dalam Kalendar Acara Pelancongan Negeri Sembilan pada tahun ini.

Justeru, pelbagai acara dan program bermanfaat telah dirancang oleh pihak penganjur khusus buat para penunggang serta penggemar motosikal berkuasa tinggi.

Menurut Azhar, PDIBF 2017 menampilkan sedikit kelainan berbanding pada edisi tahun-tahun sebelum ini dengan mewujudkan tiga buah pentas di sekitar tapak festival.

Dia memberitahu, pentas itu termasuk pentas utama yang bersaiz besar dan dua buah pentas mini dengan setiap daripadanya disusun untuk pelbagai aktiviti menarik.

“Pentas utama dibina untuk acara seperti majlis perasmian, permainan, konsert, pertunjukan bunga api dan cabutan bertuah.

“Pentas mini pula untuk aktiviti persembahan jalanan (busking) yang diketuai Yazid daripada kumpulan Search. Satu lagi pentas mini dibina di tepi laut khusus untuk aktiviti seperti barbeku dan bersantai,” terangnya.

Tambah Azhar, festival pada tahun ini turut dimeriahkan dengan pertandingan seperti Custom Bike, Autoshow Motosikal dan Sunset Ride khusus buat penggemar motosikal berkuasa tinggi.

Jelasnya, buat julung-julung kali, PDIBF 2017 menganjurkan pertandingan bina badan iaitu Mr. PD Bikefest yang disertai oleh peserta profesional dari seluruh Malaysia.

“Para pengunjung juga berpeluang memenangi cabutan bertuah khas yang diadakan pada festival ini. Pengunjung bertuah itu membawa pulang sebuah motosikal custom (diubah suai),” katanya

Populariti


PENUNGGANG wanita turut memeriahkan PDIBF 2017.


Mengulas mengenai pemilihan Port Dickson sebagai lokasi festival, Azhar memaklumkan, ia disebabkan oleh populariti pantai peranginan itu dalam kalangan masyarakat tempatan.

Dia memberitahu, lokasi itu juga mempunyai tempat penginapan yang mencukupi untuk menampung kehadiran jumlah penunggang yang ramai.

“Para penunggang yang datang dari jauh berpeluang menyewa penginapan untuk beristirahat sepanjang tiga hari festival ini berlangsung.

“Malah, ada yang mengambil peluang membawa ahli keluarga untuk bercuti di Port Dickson,” katanya.

Salah seorang pengunjung PDIBF 2017, Khaimy Faizal, 37, turut bersetuju bahawa Port Dickson adalah lokasi ideal untuk penganjuran program seperti festival berkaitan motosikal.

Lelaki berasal dari Shah Alam, Selangor itu memberitahu, ia memberi peluang kepada penunggang motosikal sepertinya untuk menenangkan fikiran.

“Pemilihan tempat sangat penting bagi menarik kehadiran pengunjung. Selepas menunggang sejauh beratus-ratus kilometer, rasa lelah itu berkurangan selepas melihat keindahan pantai di sini.

“Saya rasa, Port Dickson adalah destinasi yang sesuai dan harus dikekalkan untuk menyaingi Krabi Bike Fest di Thailand,” katanya yang menunggang motosikal jenis Naza N5 250.

Khaimy yang berkhidmat sebagai juruteknik Naza di Shah Alam berpendapat, PDIBF telah melakukan banyak perubahan sejak kali pertama berkunjung kira-kira sedekad lalu.

Katanya, perubahan dapat dilihat daripada pertambahan jumlah pelawat, penunggang, gerai-gerai pameran dan kecekapan pihak penganjur.

“Kali pertama saya datang ke festival ini ialah pada tahun 2004. Ketika itu, penganjurannya tidak besar dan meriah seperti ini.

“Ini jelas memberi petanda bahawa bilangan penunggang motosikal berkuasa tinggi di negara ini semakin bertambah dari tahun ke tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Khaimy turut melontarkan harapan kepada pihak penganjur supaya tidak hanya memberi fokus terhadap penggemar motosikal berkuasa tinggi.

Dia memaklumkan, kehadiran pengunjung pasti akan lebih ramai jika penganjur melibatkan penggemar motosikal lain seperti kapcai, vespa, scrambler untuk menyertai program itu.