Pengetahuan asas pertolongan cemas bantu selamat nyawa


Demontrasi membalut luka parah ditunjukkan secara langkah demi langkah untuk meningkatkan kefahaman orang ramai.


“SAYA ada belajar mengenai pertolongan cemas seperti bantuan pernafasan kecemasan (CPR) sewaktu menyertai pasukan unit beruniform Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) ketika di bangku sekolah dahulu.

“Bagaimanapun, saya sudah tidak begitu ingat untuk melakukannya dengan betul,” ujar Norain Abdullah, 29, ketika ditemui Kosmo! pada program Safe Steps First Aid atau Langkah-Langkah Keselamatan Pertolongan Cemas di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Ibu kepada seorang cahaya mata dari Segambut, Kuala Lumpur itu mengakui program tersebut membolehkan orang awam melakukan mempelajari semula kemahiran pertolongan cemas.

Menurut Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC), sekitar 16,000 individu maut akibat kecederaan di seluruh dunia saban hari dengan 80 peratus daripadanya berlaku di rumah.

Disebabkan itu, entiti pelaburan komuniti, Yayasan Prudence melancarkan kempen Safe Steps First Aid bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan tentang pertolongan cemas.

Ia merupakan usaha sama yayasan tersebut bersama IFRC, National Geographic dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) dan merupakan program merentasi Asia pertama seumpamanya pernah dianjurkan di rantau ini.

Video

Pada dasarnya, Safe Steps First Aid terdiri daripada pembikinan enam video pengumuman perkhidmatan awam yang mengetengahkan topik pertolongan cemas seperti tulang patah, melecur, tercekik, pendarahan teruk dan strok.


Seorang petugas menunjukkan cara-cara membantu bayi tercekik menggunakan patung.


Pengerusi Yayasan Prudence, Donald Kenak berkata, setiap video pendek berdurasi satu minit itu memberi penjelasan dan memberi garis panduan yang jelas kepada orang ramai untuk melakukan pertolongan cemas.

“Ia adalah latihan asas iaitu bantuan awal yang boleh diberikan ketika seseorang itu berdepan situasi cemas sekali gus membantu menyelamatkan nyawa,” tuturnya.

Turut hadir, Setiausaha Agung PBSMM, Datuk Sayed A. Rahman Sayed Mohd. dan Naib Presiden IFRC dan Presiden Persatuan Palang Merah China, Dr. Chen Zu.

Video tersebut disiarkan dalam sembilan bahasa antaranya bahasa Malaysia, Indonesia, Kantonis, Khmer, Tagalog dan Thailand di saluran National Geographic serta 17 saluran merentasi Fox Networks Group Asia meliputi 80 juta keluarga di rantau ini.

Sementara itu, Jurulatih Pembantu Perubatan Ambulans dari Ibu Pejabat Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia, Yusnizam Yusoff berkata, seseorang itu tidak semestinya perlu menunggu peralatan yang lengkap untuk menghulur bantuan kepada mangsa.

Beliau yang memberi taklimat kepada pengunjung mengenai bantuan tulang patah menjelaskan, terdapat bahan yang mudah dicapai seperti kotak dan majalah boleh dimanfaatkan buat sementara waktu sebagai penyokong bagi mengelak pergerakan anggota yang dipercayai cedera.


Program Safe Steps First Aid bertujuan mendidik orang ramai mengenai mengenai konsep pertolongan cemas yang mudah difahami.


“Pengetahuan sebegini penting supaya seseorang itu tidak panik di samping tindakan yang diambil tanpa kemahiran yang cukup dikhuatiri menyebabkan kecederaan menjadi lebih parah,” jelasnya.

Dalam pada itu, petugas Perkhidmatan Ambulans Kebangsaan (Hotspot) Bulan Sabit Merah Malaysia, Thomas Wong Chun Kit berpendapat, pengetahuan yang walaupun tampak mudah boleh menjadi penting dalam situasi genting.

“Sebagai contoh, mengenali tanda serangan strok boleh dibuat dengan menyuruh seseorang itu senyum untuk mengesan kelumpuhan sebelah wajah, mengangkat tangan dan ujian mengulang perbualan mudah dapat membantu mengesan gejala penyakit itu pada peringkat awal.

“Ini kerana setiap detik yang berlalu amat berharga dan mereka boleh dikejarkan ke pusat perubatan untuk rawatan segera,” ujarnya.