Sentuhan artistik pembikinan komik One Piece

Lebih 70 barangan bertema One Piece seperti baju-T, pelekat, beg kecil dan pin lencana dijual pada harga berpatutan.


Buat julung-julung kali, pameran manga atau siri komik Jepun yang terlaris di dunia, One Piece berlabuh di Malaysia sempena sambutan ulang tahun yang ke-20 sejak ia diperkenalkan pada 1997.

Siri itu mengisahkan tentang pengembaraan sebuah kumpulan lanun yang mencari harta karun misteri bernama One Piece.

Watak utamanya, Monkey D. Luffy menubuhkan sebuah kumpulan lanun yang dipanggil Lanun Topi Jerami.

D. Luffy bercita-cita mengikuti jejak langkah Raja Lanun, Gol D. Roger yang telah meninggal dunia dan menyembunyikan One Piece sebelum kematiannya.

One Piece disiarkan secara bersiri dalam majalah Weekly Shonejump yang sehingga kini telah terjual lebih daripada 416 juta naskhah.

Ia pernah merangkul anugerah Guinness World Records bagi salinan komik bercetak terbanyak pada tahun 2015.

Pameran berjudul Hello, ONE PIECE yang diadakan di Isetan The Japan Store Kuala Lumpur dari 26 Ogos sehingga 18 Oktober itu memaparkan aspek artistik dunia penciptanya, Eiichiro Oda dan pembikinan karya tersebut yang sentiasa berevolusi.

Meja kerja

Turut diketengahkan ialah pelbagai ilustrasi berwarna, replika meja kerja Oda dan zon realiti maya (VR) dengan kandungan yang direka khas untuk pameran itu dipamerkan buat kali pertama kepada khalayak.


Mirza (dua dari kanan) bersama Nakano (dua dari kiri) dan Orikasa (kanan) memotong reben sebagai simbolik perasmian Pameran One Piece di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Ketua Editor Weekly Shonenjump, Hiroyuki Nakano berkata, pihaknya menyasar kehadiran 20,000 pengunjung sepanjang pameran itu.

“Sebelum ini, sudah banyak acara berkaitan One Piece dianjurkan di negara Jepun dan kami berhasrat untuk melakukan perkara serupa di negara-negara lain.

“Kami dapati peminat di Malaysia begitu positif terhadap manga dan memutuskan untuk memilih sebuah negara yang tidak pernah mempunyai pameran One Piece sebelum ini,” katanya kepada pemberita pada pelancaran pameran Hello, ONE PIECE di ibu kota baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab menyifatkan, salah satu sumbangan Jepun di peringkat antarabangsa ialah budaya yang unik dan pengaruh mereka tersebar ke serata dunia termasuk di negara ini.

“Kita tidak perlu melihat jauh untuk melihat pengaruh Jepun kerana ia bermula dengan pengguna elektronik, makanan, kejuruteraan automotif, fesyen, seni dan sastera.

“Pengaruh masyarakat Jepun dapat disaksikan melalui banyak cara dalam membentuk budaya moden.

“Begitupun, satu-satunya perkara unik dan boleh dianggap sebagai ‘hadiah berbeza’ dari Jepun boleh didapati dalam industri hiburan terutamanya melalui animasi Jepun atau anime dan manga.

“Anime dan manga antara sumber terbaik untuk menyampaikan kisah dalam bentuk animasi serta ilustrasi, sekali gus menarik minat peminat luar negara untuk mempelajari bahasa Jepun serta melawat negara asal karya berkenaan,” tuturnya.

Tambahnya, sejumlah 414,000 rakyat Jepun melancong ke Malaysia pada tahun lalu sementara 394,000 pelancong tempatan melawat negara Matahari Terbit itu dalam tempoh yang sama.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Misi Kedutaan Jepun di Malaysia, Hiroyuki Orikasa dan Pengurus Besar, Dai Nippon Printing Co Ltd, Ken Fukutake.