Label negatif agama Islam


Festival arak kecoh baru-baru ini apabila dilarang penganjurannya oleh pihak berkuasa. – Gambar hiasan


ADA pihak yang mendakwa bahawa Malaysia kini lebih condong dan cenderung ke arah Islam yang konservatif atau sempit.

Dakwaan itu timbul ketika isu festival arak masih panas diperkatakan, sekalipun pihak Polis Diraja Malaysia telah melarang pesta itu diadakan atas faktor keselamatan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata bahawa polis telah menerima maklumat mengenai wujudnya perancangan mensabotaj pesta arak itu.

Kenyataan itu tidak meredakan isu kerana pihak yang menyokong pesta arak itu masih berkeras supaya ia dibenarkan.

Lalu dibangkitkan dakwaan bahawa Malaysia kini semakin condong ke arah Islam yang konservatif.

Mungkin ada kalangan umat Islam yang berasa tidak selesa dengan label itu. Kepada mereka, dinasihatkan janganlah terpedaya dengan label-label negatif ciptaan musuh Islam.

Bertepuk dan bersoraklah syaitan-syaitan yang sejak penciptaan Nabi Adam dahulu tidak lain kerja mereka hanyalah untuk menyesatkan manusia supaya akhirnya masuk neraka bersama mereka.

Istilah-Istilah seperti konservatif, moden, liberal, progresif malah pengganas akan menambah pecah umat Islam yang sudah sekian lama berpecah mengikut mazhab, parti politik dan keturunan.

Jika kita menyorot kembali perkembangan Islam di Kepulauan Melayu yang bermula pada abad ke-15, proses yang dilalui tidak berbentuk revolusi tetapi evolusi.

Malah, amalan-amalan berunsurkan agama Hindu yang mereka anuti sebelum kedatangan Islam masih kedapatan sehingga hari ini walaupun hanya berubah pengisiannya.

Umpamanya kenduri arwah yang tidak diamalkan oleh orang-orang Islam di dunia Arab masih diamalkan di Malaysia, Indonesia dan Brunei.

Pada zaman Hindu dahulu, orang Melayu mengadakan kenduri arwah selama tiga hari selepas kematian, juga pada hari ke-40 dan ke-100.

Bagaimanapun, kenduri yang dipanggil pooja dan dipenuhi dengan bacaan mantra itu diubah isinya oleh para pendakwah Islam dengan tahlil, bacaan ayat Quran dan doa.

Ini dilakukan sebagai cara dakwah yang berhikmah untuk memikat hati orang Melayu supaya cepat tertarik dan kekal dalam agama yang baru mereka anuti.

Begitu juga permainan wayang kulit di tanah Jawa yang merupakan acara agama Hindu yang dipenuhi dengan cerita-cerita daripada kitab mereka.

Kedatangan Islam yang disebarkan oleh Wali Songo tidak menghentikan serta-merta wayang kulit.

Penuh hikmah

Sebaliknya dengan penuh hikmah Wali Songo menjadikan wayang kulit sebagai medium dakwah dengan mengubah cerita daripada kitab Hindu kepada cerita berunsur Islam.

Malah, kita dapat melihat perubahan pada pakaian. Dahulu wanita Islam hanya memakai kain tudung lepas, malah lebih ramai tidak bertudung.

Pada hari ini lebih ramai wanita Islam memakai tudung berbanding yang tidak bertudung. Malah tudung dan cara bertudung sekarang adalah lebih menepati perintah Allah.

An-Nur:31 - Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.

Apa yang berlaku sebenarnya bukanlah proses ke arah konservatisme, malah ia adalah sebahagian proses pembetulan atau penambahbaikan mengikut lunas-lunas Islam yang betul.

Ia satu proses yang berjalan secara evolusi sejak zaman-berzaman.

Ingatlah betapa suatu masa dahulu mes-mes anggota dan pegawai tentera serta polis dipenuhi dengan botol arak, tetapi tidak lagi pada hari ini.

Malah, Angkatan Tentera Malaysia kini mempunyai Kor Agama yang bertanggungjawab menguruskan dan memperkukuh hal ehwal Islam dalam kalangan setiap lapisan anggota.

Apakah proses perubahan ini wajar dimomokkan sebagai konservatif dan sebagainya? Itu semua hanyalah suara-suara syaitan.