Zul, Ayda dilihat kembali mesra

Ayda dan Zul saling membantu mempromosikan drama lakonan masing-masing di laman sosial.


Amboi, berita yang sampai ke telinga Diva kali ini pastinya menguntumkan bunga-bunga bahagia buat peminat Zul Ariffin dan Ayda Jebat. Bukan apa, baru-baru ini teman Diva ada beritahu yang kedua-dua bintang kesayangan itu sudah kembali mesra.

Sama ada ‘mesra’ yang dimaksudkan itu ada terkandung bibit-bibit cinta, itu Diva tidak berani pula nak komen. Cuma apa yang diberitahu pada Diva, hubungan mesra mereka kembali terjalin selepas Zul menegur Ayda di sebuah acara anugerah.

Tidak datang bersendirian, Zul dikhabarkan turut membawa ibunya bertemu Ayda. Maka, pertemuan itu berjaya diperhatikan oleh beberapa orang yang berada di tempat kejadian.

Selepas pertemuan itu, kata teman Diva, Zul dan Ayda juga saling membantu mempromosikan drama masing-masing di laman sosial. Malah, teman Diva berjaya melihat sendiri video ucapan Zul buat Ayda. Sambil mengusik Ayda yang kini mengenakan imej rambut perang ala barbie doll, Zul dikatakan turut mempromosikan drama lakonan Ayda iaitu Dekatkan Jarak Kita. Sementara Ayda pula turut membuat video mempromosikan drama lakonan Zul iaitu Titian Cinta.

Teman Diva yang merupakan peminat pasangan itu tersenyum sahaja melihat video tersebut. Bukan apa, salah satu video yang dihasilkan Zul ada mengusik Ayda dengan ayat “Rambut itu nak pergi mana kak?” (merujuk pada gaya rambut terbaharu Ayda). Namun, apa yang lebih manis Diva dapat tahu ketika Ayda menonton video berkenaan dia cukup terhibur dan wajahnya juga bertukar kemerah-merahan.

Diva: Tahniah Elfira Loy dan Sufian Suhaimi yang selamat bertunang pada Jumaat lalu.