Berakhirnya larangan memandu wanita Arab Saudi

WANITA di Arab Saudi akhirnya dibenarkan untuk memandu kereta sekali gus menamatkan kempen selama 25 tahun oleh aktivis wanita di negara itu.


ENAM tahun lalu, seorang wanita, Manal Al-Sharif dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membuat janji temu dengan doktor kerana masalah kesihatan.

Bagaimanapun, wanita berusia 38 tahun itu mendakwa, dia terpaksa berdiri di tepi jalan selama lebih sejam kerana sukar untuk mendapatkan teksi.

Rata-rata apabila wanita itu menahan teksi yang melintasi hadapannya, pemandu teksi akan terus memecut laju walaupun pada ketika itu teksi tersebut tidak mempunyai penum­pang.

Alasannya cuma satu, kerana Manal merupakan seorang wanita. Mengikut undang-undang di Arab Saudi, seorang wanita tidak boleh bersama dengan lelaki yang bukan mahramnya termasuk berbual-bual dengan lelaki lain yang tidak dikenali.

“Kenapa saya perlu didiskriminasi semasa berada di jalan raya?

“Wanita-wanita di sini (Arab Saudi) juga tidak dibenarkan untuk memandu kereta dan memiliki lesen,” tutur Manal sewaktu ditemu bual oleh majalah The Times.

Dakwa wanita itu, dia memiliki sebuah kereta, namun tidak berpeluang untuk memandunya kerana terpaksa akur dengan undang-undang yang melarang kaum wanita memandu kereta di jalan raya.

Melihat pada situasi tersebut, pada tahun 2011, Manal telah mengambil keputusan nekad apabila menghasilkan sebuah video pendek yang menunjukkan dirinya sedang memandu kereta dan memuat naik video tersebut dalam laman YouTube.

Mengejutkan apabila vi­deo bertajuk Women2Drive tersebut telah mendapat sambutan dan ditonton sebanyak 700,000 pengguna YouTube hanya dalam masa sehari.

Kesannya, Manal yang merupakan seorang graduan Sains Komputer dari Universiti King Abdulaziz di Jeddah telah ditahan pihak polis dan dimasukkan ke penjara selama seminggu atas kesalahan kerana memandu di jalan raya.

Pengumuman bersejarah

Selepas dibebaskan, Manal te­lah menjadi aktivis sepenuh masa dan menggunakan pengalamannya untuk memperjuangkan kehendak wanita di negara Asia Barat itu terutamanya hak untuk membenarkan wanita memandu kereta di jalan raya.

Selepas protes selama lebih 25 tahun, awal minggu lalu, kerajaan Arab Saudi dalam satu kenya­taan telah membuat pengumuman membenarkan wanita memandu kereta di jalan raya sekali gus menamatkan polisi pengharaman ke atas golongan wanita mengendalikan stereng kereta.

Pengumuman bersejarah itu merupakan antara transformasi Arab Saudi dalam menempuh era pascaminyak sekali gus menjadi negara terakhir di dunia yang berbuat demikian.

Perintah tersebut yang bakal berkuat kuasa pada Jun 2018 telah diumumkan oleh pemerintah Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud melalui pengumuman yang dibuat secara siaran langsung di stesen televisyen kerajaan pada Selasa minggu lalu.

Keputusan itu dilakukan untuk menjaga reputasi antarabangsa dan mengharapkan manfaat hubungan masyarakat melalui penarikan semula larangan tersebut.

Pada masa sama, para pe­mimpin di Arab Saudi turut berharap penarikan semula dasar tersebut dapat membantu menjana taraf ekonomi dengan me­ningkatkan penglibatan kaum wanita dalam sektor pekerjaan di Arab Saudi.

“Ini merupakan satu berita gembira dan menakjubkan,” ujar Fawziah al-Bakr, seorang profesor di Universiti Saudi yang juga me­rupakan salah seorang daripada 47 aktivis yang memperjuangkan hak wanita di negara Arab tersebut.

Fawziah sebelum itu pernah terlibat dalam satu protes dengan memandu kereta di sekitar ibu kota Arab Saudi, Riyadh. Ekoran daripada protes tersebut, Faw­ziah bersama beberapa lagi wanita telah ditangkap dan dibicarakan di mahkamah.

Keputusan untuk mengubah dasar pengharaman memandu kereta ke atas wanita telah menjadi perbincangan sejak beberapa tahun lalu oleh pewaris takhta, Putera Mahkota Mohammed bin Salman yang dilihat cuba merombak ekonomi dan merintis aspirasi golongan muda.

Langkah itu juga selaras dengan Wawasan 2030 kerajaan Arab Saudi. Melihat percambahan angka golongan wanita yang terlibat dalam sektor profesional, pada tahun 2015, kerajaan Arab Saudi telah membenarkan golongan wanita untuk mengundi dan menduduki kerusi Majlis-Majlis Kerajaan Tempatan.

Undang-undang syariah


KEBANYAKAN wanita di Arab Saudi terpaksa menaiki teksi untuk ke mana sahaja kerana tidak dibenarkan memandu kereta.


Dalam satu persidangan kecil yang dibuat di Kedutaan Arab Saudi di Wa­shington, Amerika Syarikat, wakil duta negara itu, Putera Khalid bin Salman memberitahu, kaum wanita kini telah dibenarkan untuk mengambil lesen memandu tanpa perlu mendapatkan kebenaran daripada suami, bapa atau mana-mana lelaki dalam ahli keluarganya.

Pengakhiran era pengharaman memandu ke atas wanita yang diputuskan pada minggu lalu itu bagaimanapun tidak menampakkan kegembiraan terhadap segelintir masyarakat Arab Saudi yang berpegang dengan undang-undang syariah.

Terdapat juga keluarga melahirkan rasa bimbang apabila kerajaan Arab Saudi mengumumkan penarikan se­mula larangan memandu ke atas wanita terutamanya golongan lelaki.

Antara alasan yang diberikan adalah kebimbangan apabila saudara perem­puan mereka berdepan dengan masalah kerosakan kereta di tepi jalan dan berada dalam keadaan keseorangan.

Di bawah undang-undang Arab Saudi, seseorang wanita tidak boleh keluar bersendirian, bekerja dan menjalani prosedur perubatan tanpa persetujuan penjaga lelaki mereka sama ada bapa, suami atau anak lelaki.

Penguatkuasaan undang-undang tersebut yang dilihat semakin diberi kelonggaran sejak kebelakangan ini menunjukkan usaha untuk menyekat batasan pergerakan kaum wanita yang selama ini dikawal oleh lelaki.

Putera Mahkota Mohammed bin Salman berkata, wanita di Arab Saudi akan dibenarkan untuk memandu sendiri, namun Kementerian Dalam Negeri akan memutuskan sama ada mereka dibenarkan untuk bekerja sebagai pemandu profesional atau tidak.

Arab Saudi yang merupakan negara bagi dua kota suci umat Islam iaitu Mekah dan Madinah mengamalkan sistem pemerintahan bercorak monarki mengikut undang-undang syariah.

Selama bertahun-tahun, para pegawai dan ulama di negara tersebut telah memberi penjelasan dengan melarang kaum wanita daripada memandu kereta.

Sekolah memandu

Antara penjelasan yang diberikan oleh para ulama Arab Saudi ialah kebebasan memandu yang diberikan terhadap kaum wanita dikhuatiri akan mendorong seseorang itu terlibat dengan maksiat dan pergaulan bebas.

Di sebalik penarikan semula larangan memandu ke atas wanita di Arab Saudi, Universiti Puteri Nourah Abdul Rahman yang merupakan sebuah universiti awam di Riyadh bakal membuka sekolah memandu khusus untuk wanita dan yang pertama di Arab Saudi.

Dalam satu kenyataan daripada wa­kil universiti tersebut, cadangan untuk mewujudkan sekolah memandu itu kini dalam persiapan dengan mendapat kerjasama pihak berkuasa yang berkaitan.

Di Universiti Puteri Naourah Abdul Rahman, terdapat lebih daripada 60,000 orang pelajar perempuan dan dijangkakan pembukaan sekolah memandu itu nanti mampu menarik beribu-ribu pelajar untuk mendapatkan lesen memandu.

Pengumuman yang menggembirakan itu turut mendorong penglibatan wanita dalam sektor pekerjaan dan peningkatan jualan kereta pada masa akan datang sebelum kerajaan mengenakan cukai tambahan pada Januari 2018.

Pada masa sama, pengeluar beberapa jenama kereta antarabangsa seperti Nissan, Chevrolet dan Ford turut mengucapkan tahniah kepada wanita Arab Saudi dan menjangkakan berjuta-juta pemandu wanita akan memandu di jalan raya selepas mereka dibenarkan untuk berbuat demikian pada tahun hadapan.