Beri ganjaran kepada individu laporkan vandalisme


WAN HAMIDON (kanan) dan Amiruddin masing-masing memiliki kepakaran dalam bidang kejuruteraan struktur dan kejuruteraan pengangkutan.


ISU membabitkan tingkah laku tidak bermoral dan gejala vandalisme membabitkan pengangkutan awam Transit Aliran Massa (MRT) seperti tidak berkesudahan. Selepas reda dengan masalah vandalisme, MRT Sungai Buloh-Kajang (SBK) yang baru sahaja beroperasi pada 17 Julai digemparkan pula dengan sikap tidak beradab segelintir penumpang.

Manakan tidak, dilaporkan ada penumpang yang tidak malu berpelukan dengan pasangan, bergayut pada tiang dan duduk tanpa adab. Sebelum ini, antara vandalisme yang dilaporkan dilakukan termasuklah goresan pada bangku dan dinding, kerosakan di dalam tandas seperti pili air serta penutup mangkuk tandas tercabut selain kerusi tempat duduk di stesen ditoreh.

Insiden itu bukan sahaja dianggap memalukan, malah turut memberi imej negatif kepada pelancong asing. Selain itu, pelaku vandalisme secara tidak langsung mempamerkan mentaliti kelas ketiga meskipun kemudahan bertaraf dunia disediakan untuk kemudahan mereka.

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut, wartawan Kosmo! Ahad, NOR IDAYU BOSRO menemu bual Ketua Pusat Penyelidikan Bandar Pintar dan Lestari (Sutra), Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Ir. Dr. Wan Hamidon Wan Badaruzzaman. Wawancara tersebut turut disertai bekas Ketua Pusat Penyelidikan Pengangkutan Bandar Mapan, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, UKM, Prof. Dr. Amiruddin Ismail.

Kosmo! Ahad: Boleh Prof. jelaskan sedikit latar belakang dan fungsi Sutra di UKM?

WAN HAMIDON: Sutra dikenali sebagai Pusat Penyelidikan Pengangkutan Bandar Mapan sebelum ditukar nama kepada Pusat Penyelidikan Bandar Pintar dan Lestari baru-baru ini. Matlamat utama penubuhan pusat penyelidikan ini antara lain adalah untuk membangun keupayaan teknologi pengangkutan pintar dan pengangkutan awam darat melalui aktiviti penyelidikan dan pembangunan dalam bidang asas dan gunaan seperti kajian binaan fizikal, binaan logik, kajian sistem komunikasi, sensor, bahan-bahan pintar dan termaju serta pelbagai aplikasi dan penyebaran data serta maklumat.

Pada pandangan Prof., apakah yang mendorong kepada kejadian vandalisme dalam tren MRT?

Pada hemat saya, gejala vandalisme ini didorong oleh masalah sikap segelintir masyarakat yang kurang kesedaran terhadap tanggungjawab menjaga harta benda awam. Vandalisme juga boleh dilakukan oleh mereka yang di bawah tekanan perasaan atau marah terhadap sesuatu dan ingin melepaskan tekanan perasaan sehingga tidak dapat mengawal emosi yang akhirnya mendorong mereka kepada tindakan atau kelakuan untuk merosakkan harta benda awam. Mungkin juga, ia dilakukan oleh individu yang berada di bawah pengaruh bahan terlarang hingga menyebabkan mereka hilang kewarasan fikiran. Kesemua ini adalah berpunca akibat kurangnya didikan agama atau sivik, dan kurangnya keberkesanan sistem pendidikan kita dan peranan masyarakat secara menyeluruh terhadap pembentukan peribadi mulia seseorang manusia.

Pada pandangan Prof., mengapakah masih ada masyarakat yang melakukan vandalisme? Adakah kita sudah bersedia menerima kemudahan bertaraf dunia ini?

Kita perlu mencari jalan untuk menyelesaikan punca masalah yang telah saya nyatakan tadi. Selagi tidak ditangani dengan berkesan, maka selagi itulah kita akan berdepan dengan masalah vandalisme dan lain-lain masalah sosial yang melanda mana-mana negara termasuk di negara-negara maju. Saya akui untuk menghapuskan vandalisme secara sepenuhnya memang agak sukar kerana masyarakat terdiri dari pelbagai latar belakang agama, pendidikan, keadaan sosial dan ekonomi yang mempengaruhi mereka.

Namun, saya masih merasakan kita sudah bersedia menerima kemudahan bertaraf dunia kerana yang melakukan vandalisme ini hanya segelintir kecil sahaja daripada ahli masyarakat, iaitu mereka yang masih tidak boleh menghargai nilai harta benda awam dan mempunyai pemikiran kelas ketiga.

Apakah tindakan yang wajar diambil pihak pengurusan MRT agar gejala vandalisme tidak terus berleluasa?

Pihak pengurusan MRT sendiri boleh memikirkan kaedah yang lebih inovatif dalam menangani masalah ini di samping usaha-usaha yang sedang dilaksanakan. Golongan bermasalah yang suka merosakkan harta awam ini kita tangani dengan program kesedaran dan galakan.

Hukuman dan undang-undang sahaja tidak memadai untuk menghapuskan sepenuhnya masalah vandalisme. Biarlah mereka mengubah sikap dan meninggalkan perbuatan yang tidak baik tersebut yang terhasil daripada nilai-nilai murni yang dipupuk dalam diri mereka.

MRT boleh melaksanakan pendekatan stick and carrot iaitu bentuk hukuman dan ganjaran agar gejala vandalisme tidak terus berleluasa. Di samping menghukum mereka yang ditangkap melakukan vandalisme, perlu diberi juga ganjaran seperti menawarkan tiket percuma misalnya sebagai galakan kepada orang yang melaporkan vandalisme.

Kalau kita terus mengharapkan penguatkuasaan undang-undang untuk mencetuskan rasa takut supaya orang tidak merosakkan harta benda awam, kita sebenarnya masih tidak berjaya mendidik masyarakat ke tahap pemikiran kelas pertama. Kita mahu kalau boleh masyarakat tidak berbuat demikian tanpa undang-undang. Ia hanya boleh dipupuk dengan kesedaran dalaman menerusi pendidikan holistik dan seimbang.

Kami menyarankan agar satu penyelidikan dalam konteks vandalisme terhadap pelbagai kemudahan yang melibatkan pengangkutan awam dibuat. Ia mestilah terperinci, menyeluruh dan holistik serta melibatkan pelbagai disiplin membabitkan sektor kejuruteraan dan bukan kejuruteraan. Pihak Sutra di UKM boleh menawarkan penyelidikan ini dengan bajet tertentu untuk mengenal pasti punca masalah ini sehingga ke akar umbi agar jalan penyelesaian yang tepat dapat diambil.

Apakah kesan jangka masa panjang gejala vandalisme pengangkutan awam kepada pembangunan negara jika ia tidak diatasi dari awal?

Apa pun fasiliti yang disediakan kerajaan sama ada kemudahan atau pengangkutan awam, ia perlulah dijaga dengan baik. Kalau segelintir masyarakat yang mempunyai pemikiran kelas ketiga ini dibiarkan menguasai dalam jangka masa panjang, maka majoriti masyarakat lain akan rugi. Kita tidak dapat menikmati kemudahan berkenaan pada tahap terbaik seperti sewaktu ia mula-mula dibuka.

Ini kerana, berlaku penurunan pada kualiti dan kebolehgunaan kemudahan tersebut. Gejala vandalisme juga secara tidak langsung mengurangkan minat orang untuk menggunakan kemudahan ini dan akhirnya merendahkan kelangsungannya untuk beroperasi. Impaknya juga boleh dilihat pada perbelanjaan mengurus dan menyelenggara yang memakan perbelanjaan besar. Negara akan rugi dan akhirnya menjadi lebih mundur akibat kerosakan buatan manusia ini.

Apa nasihat atau gesaan Prof. kepada masyarakat di luar sana agar lebih bertanggungjawab menjaga harta awam?

Tanggungjawab menjaga kemudahan pengangkutan awam adalah tanggungjawab bersama. Sepatutnya sikap bertanggungjawab dan kesedaran sivik yang tinggi ini perlu ada dalam diri setiap individu. Oleh itu, satu perubahan sikap dan mentaliti kelas pertama diperlukan dalam diri rakyat Malaysia bagi menjamin masa depan pengangkutan awam.

Menyentuh aspek lain, bagaimana Prof. melihat mutu perkhidmatan pengangkutan MRT dapat ditambah baik?

Kami berpendapat mutu perkhidmatan pengangkutan itu dapat ditambah baik dengan beberapa pendekatan antara lain menyediakan perkhidmatan bas yang lebih banyak dan meliputi kawasan operasi yang lebih luas. Ia bagi memudahkan pengguna sampai ke tempat kerja dengan mudah dan cepat sebaik turun daripada tren tanpa perlu menunggu lama untuk menaiki pengangkutan awam lain seperti teksi dan bas henti-henti. Selain itu, tempat parkir seperti Park & Ride perlu diperbanyakkan kerana tidak semua stesen dilengkapi fasiliti itu. Sesetengah pengguna terpaksa parkir di kawasan perumahan dan ini dikhuatiri mengganggu kejiranan dan aliran trafik.