Hayati ekosistem hutan di luar kelas

Seorang sukarelawan yang memakai kostum burung memberi taklimat mengenai peranan hidupan liar di dalam hutan kepada peserta.


SEAWAL pukul 7 pagi 29 September lalu, Nurul Zaitun Mohd. Zahari, 15, sudah bersiap-siap untuk menyertai rakan sekolahnya yang lain bagi mengikuti Program Pendidikan Alam Semula Jadi (PPAS) di kawasan Hutan Simpan Ayer Hitam di Puchong, Selangor.

Pada pagi itu, dia sangat teruja apabila bakal menimba pengalaman memasuki kawasan hutan simpan untuk melihat sendiri suasana persekitarannya, apatah lagi ia merupakan kali pertama baginya.

“Sebelum ini saya memang tidak pernah masuk ke kawasan hutan.

“Sebab itulah saya sangat seronok apabila diberi peluang masuk ke dalam hutan simpan di sini. Selain dapat mempelajari pelbagai perkara mengenai hutan, saya dan rakan-rakan lain juga dapat menikmati suasana tenang berada di dalamnya,” katanya.

Nurul Zaitun merupakan antara 25 murid program pendidikan khas integrasi (PPKI) dari lima buah sekolah di sekitar daerah Sepang yang dibawa ke Pusat Pendidikan Perhutanan Sultan Idris Shah (SISFEC), Puchong yang dikendalikan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang baru-baru ini.

Jelasnya, walaupun hanya berkesempatan berada di kawasan hutan itu selama beberapa jam, namun ia sudah cukup untuk menimbulkan rasa cinta dan sayang terhadap hutan di dalam dirinya.

Terapi


Peserta turut diberi peluang merasai perbezaan kulit pokok yang terdapat di dalam hutan dan fungsinya kepada tumbesaran pokok berkenaan.


Perkara itu turut diakui seorang guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Salak Tinggi, Kamarudin Mustafa, 32, yang mengiringi lima murid sekolah tersebut untuk menyertai program berkenaan.

Menurutnya, walaupun hanya berlangsung separuh hari, namun pengisian program yang disusun oleh pihak UPM itu telah banyak membantu peserta meningkatkan pengetahuan mereka mengenai ekosistem hutan.

“Kesemua peserta merupakan murid berkeperluan khas dan ramai antara mereka yang tidak pernah masuk ke dalam hutan.

“Oleh itu, program PPAS sangat berkesan dalam meningkatkan pemahaman mereka tentang kepentingan hutan di dalam kehidupan seharian,” katanya.

PPAS merupakan aktiviti pendidikan mengenai hutan dan alam semula jadi yang dilaksanakan oleh Fakulti Perhutanan UPM sejak tahun lalu.

Ia dijalankan bagi memberi pendedahan kepada murid-murid PPKI kepada alam semula jadi dan kepelbagaian sumber hutan di samping membantu meningkatkan keyakinan diri mereka ketika meneroka kawasan hutan.

Ia juga dilaksanakan sebagai satu bentuk terapi kepada peserta yang merupakan pelajar kelainan upaya menerusi pembelajaran di luar bilik darjah.

Menghurai lebih lanjut mengenai program tersebut, Pengarah Program, Dr. Norzanaliza Saadon berkata, PPAS dilaksanakan bagi mewujudkan jaringan dalam kalangan sekolah-sekolah yang aktif dengan program pendidikan alam sekitar.

Katanya, program yang telah masuk tahun kedua penganjurannya itu dikhaskan untuk penyertaan murid-murid PPKI sebagai usaha mendekatkan diri mereka dengan alam semula jadi.

“Kita memang tahu bahawa golongan ibu bapa agak sukar untuk memberi kebenaran kepada anak-anak mereka yang tergolong dalam kalangan murid PPKI untuk melibatkan diri dalam aktiviti luar bilik darjah terutama untuk masuk ke kawasan hutan atau sungai disebabkan faktor keselamatan.

“Jadi, menerusi program yang dianjurkan oleh Fakulti Perhutanan UPM ini, kita telah meyakinkan mereka bahawa ia akan dilaksanakan dalam keadaan yang sangat terkawal terutama dari aspek keselamatan.

“Malah, kita juga telah melakukan lawatan ke sekolah-sekolah bagi memberi penerangan kepada ibu bapa dan guru-guru mengenai kepentingan pembelajaran di luar bilik darjah bagi golongan pelajar PPKI kerana mereka tidak boleh dikongkong dengan hanya pendidikan di dalam kelas,” katanya yang juga merupakan pensyarah di fakulti berkenaan.

Stesen


Para peserta bergambar bersama sukarelawan dan kakitangan Fakulti Perhutanan UPM sebelum memulakan Program Pendidikan Alam Semula Jadi di Hutan Simpan Ayer Hitam, Puchong, Selangor baru-baru ini.


Jelas Norzanaliza lagi, sepanjang kira-kira lima jam program tersebut berlangsung, kesemua peserta telah dibahagikan kepada lima kumpulan kecil dengan setiap kumpulan akan dibawa ke stesen berbeza bagi tujuan pembelajaran.

Katanya, antara stesen yang diwujudkan termasuklah pembelajaran mengenai biji benih, daun, saiz pokok, persaingan kehidupan hutan, haiwan liar, kulat dan aktiviti di sungai.

“Di setiap stesen, peserta akan diberi penerangan mengenai fungsi dan peranan setiap aspek di stesen tersebut.

“Sebagai contoh, di stesen biji benih, peserta akan diterangkan mengenai apa itu biji benih dan fungsinya terhadap ekosistem hutan iaitu memastikan pokok-pokok baharu akan terus tumbuh bagi menggantikan pokok tua yang telah mati atau reput.

“Begitu juga di stesen haiwan liar yang mana murid-murid akan didedahkan dengan peranan haiwan seperti burung, kelawar dan seumpamanya sebagai agen penyebar biji benih,” katanya.

Selain mempelajari ilmu berkaitan alam semula jadi di lapangan, murid-murid juga akan diajar mengenai teknik berkomunikasi yang berkesan selain mewujudkan sikap bekerjasama di dalam kumpulan.

Seorang lagi pensyarah dari fakulti sama, Dr. Evelyn Lim Ai Lim pula memberitahu, antara lain matlamat penganjuran program PSAS itu adalah sebagai platform kepada UPM untuk membangunkan modul pendidikan alam semula jadi kepada murid-murid PPKI dalam kategori masalah pembelajaran.

“Kita mengharapkan agar modul tersebut dapat dijadikan panduan bagi UPM untuk menganjurkan program PPAS pada skala yang lebih besar pada masa akan datang selain boleh juga digunakan oleh mana-mana sekolah di seluruh negara untuk menjalankan program luar bilik darjah terhadap murid-murid PPKI,” katanya.