Siput gondang emas ancam pesawah

Siput gondang emas yang dapat dikutip semasa program Gelombang Tani Nasional Luar Jelapang di Sawah Gemilang Kampung. Kubu, Kubang Pasu, Kedah baru-baru ini.


SIPUT gondang emas (SGE) atau nama saintifiknya Pomacea sp adalah antara spesies asing berbahaya (Invasive alien species) yang dibawa masuk dari negara luar.

Ia berasal dari Amerika Selatan dan dibawa masuk ke Taiwan antara tahun 1979 hingga 1981 untuk diternak serta dipasarkan sebagai bahan makanan eksotik.

Walaupun langkah-langkah pengawalan telah dilakukan, ternyata SGE merebak dan menyerang kebanyakan kawasan penanaman padi termasuk di Semenanjung.

Di Sabah dan Sarawak, serangan SGE mula dikesan pada awal tahun 1990-an dan sehingga kini, serangan SGE dilaporkan berlaku di semua jelapang padi di Malaysia.

Keluasan serangan SGE dikesan telah meningkat daripada 1,939 hektar pada tahun 2015 kepada 7,746 hektar pada tahun 2016.

Kajian-kajian yang dijalankan menunjukkan seekor siput berukuran 2 sentimeter (sm)/m2 dapat merosakkan lebih daripada 90 peratus anak semaian berumur tujuh hari dalam masa satu minggu.

Kajian lain yang dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian pula menunjukkan lima ekor siput/m2 keluasan boleh memusnahkan 100 peratus anak padi.

Oleh itu, boleh dikatakan bahawa aras ambang ekonomi bagi SGE ialah 1 hingga 5 ekor/m2.

Anak semaian yang mati akibat dimakan SGE akan menyebabkan berlakunya kawasan lompong di petak sawah, sekali gus memaksa petani menabur semula biji benih baharu.

Bagaimanapun, pada kebiasaannya, pokok dan rumpun padi yang berumur lebih daripada satu bulan tidak lagi diserang oleh SGE.

Di negara ini, SGE dapat hidup dan membiak dengan cepat kerana kesesuaian persekitaran, kurangnya musuh semula jadi, keupayaan pembiakan yang tinggi dan jangka hayat yang lebih lama iaitu lebih kurang tiga tahun.

Penyebaran

Penyebarannya pula mudah berlaku iaitu melalui tali air, parit dan sungai yang saling bersambung di kawasan sawah padi.

Malah, banjir yang melanda kawasan penanaman padi seperti di Seberang Perai Utara di Pulau Pinang dan kawasan penanaman padi lain juga merupakan faktor utama yang menyebabkan SGE tersebar ke satu kawasan lain yang lebih luas dalam jangka masa singkat.

Penyebaran juga berlaku melalui perpindahan jentera menuai dan kegiatan manusia. SGE mempunyai keupayaan membiak yang tinggi iaitu seekor siput betina dapat menghasilkan beberapa kelompok telur dalam seminggu. Setiap kelompok telur pula mengandungi 25 hingga 320 biji telur.

Siput betina akan memanjat sebarang objek di atas permukaan air. Kelompok telur biasanya akan terlekat pada objek melebihi 5sm daripada aras air. Boleh dikatakan semua telur disenyawakan berdasarkan peratusan penetasan yang mencapai 100 peratus.

Jangka masa anak padi terdedah kepada serangan SGE pula ialah antara sehari hingga 30 hari selepas menabur manakala selepas minggu keempat, biasanya ia tidak lagi menyerang anak padi.

Bagi penanaman secara mengubah atau cedung, anak semaian terdedah kepada serangan daripada satu hingga lima hari selepas cedung.

Bagi menangani kemusnahan anak padi yang serius akibat serangan SGE, langkah pengawalan perlu diambil bagi mengelak kerosakan dan pengurangan jumlah anak padi agar ia tidak menjejaskan hasil tuaian.

Bagi tanaman padi tabur terus pula, terdapat dua peringkat serangan SGE iaitu peringkat percambahan anak benih dan peringkat semasa air dimasukkan semula selepas menabur.

Serangan pada peringkat percambahan anak benih dilakukan oleh siput yang telah memasuki sawah melalui pengairan semasa penyediaan tanah dan siput sedia terdapat dalam petak sawah.

Serangan pada peringkat air dimasukkan semula selepas menabur pula dilakukan oleh siput yang masuk ke petak sawah melalui sistem pengairan dan siput yang selama ini berehat di dalam tanah.

Jabatan Pertanian giat menjalankan pelbagai taklimat, kursus dan aktiviti hands on bagi memberi pendedahan kepada petani khususnya pesawah dalam mengawal serangan SGE.

Pada 18 September lalu, Jabatan Pertanian telah menganjurkan satu program Gelombang Tani Nasional Luar Jelapang di Sawah Gemilang Kampung Kubu, Kubang Pasu, Kedah yang mengumpulkan kira-kira 300 orang pesawah, petani, penduduk kampung dan sukarelawan jabatan serta agensi berkaitan.

Ia bagi menjalankan acara gotong-royong melibatkan aktiviti kawalan perosak tanaman padi seperti tikus dan siput gondang emas yang dilakukan secara berkumpulan antara petani setempat bersama jabatan dan agensi.

Ikuti artikel seterusnya bagi membincangkan lebih lanjut langkah-langkah kawalan siput gondang emas.