Madrid beri amaran keras

AFP - ANGGOTA polis Catalonia berkawal di luar Parc de la Ciutadella yang menempatkan bangunan Parlimen di Barcelona semalam.


BARCELONA – Polis mengetatkan kawalan di Parlimen Catalonia di Barcelona semalam ketika pemimpinnya, Carles Puigdemont bersiap sedia untuk berucap termasuk kemungkinan mengisytiharkan kemerdekaan daripada Sepanyol.

Puigdemont, 54, mempengerusikan mesyuarat Kabinet pagi semalam untuk memutuskan berhubung perisytiharan kemerdekaan Catalonia yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan negara Kesatuan Eropah.

Polis Catalonia bersenjatakan raifal automatik berkawal di taman Parc de la Ciutadella yang menempatkan bangunan Parlimen, manakala polis nasional Sepanyol tidak kelihatan.

Deklarasi kemerdekaan akan mengakibatkan krisis politik Sepanyol semakin meruncing dan hampir pasti mencetuskan tindakan keras Madrid termasuk membubarkan kerajaan autonomi Catalonia.

Penunjuk perasaan prokemerdekaan akan berhimpun di hadapan bangunan Parlimen sambil membawa sepanduk tertera slogan ‘Hello Republik’ menjelang ucapan Puigdemont pada pukul 6 petang (waktu tempatan).

Pemimpin itu berkata, beliau akan melaksanakan undang-undang yang diluluskan Parlimen Catalonia untuk mengisytiharkan kemerdekaan dalam tempoh beberapa hari selepas penduduk wilayah itu mengundi menyokong perpisahan daripada Sepanyol dalam pungutan suara pada 1 Oktober lalu.

Kerajaan rantau paling kaya di Sepanyol itu berkata, sejumlah 90 peratus pengundi memilih kemerdekaan, namun bilangan keluar mengundi adalah rendah sebanyak 43 peratus.

Dalam pada itu, kerajaan pusat di Madrid berkata, ia akan bertindak serta-merta terhadap sebarang perisytiharan kemerdekaan secara unilateral.

Perdana Menteri Sepanyol, Mariano Rajoy menimbang untuk mengambil tindakan tegas termasuk membubarkan Parlimen Catalonia dan mengadakan pilihan raya mengejut. – Reuters