Korban tragedi bot karam meningkat 23


AFP - PENDUDUK Bangladesh melihat mayat kanak-kanak pelarian Rohingya yang dikumpulkan di tepi pantai di Pulau Shah Porir selepas tragedi bot karam kelmarin.


COX’S BAZAR – Sembilan lagi mayat pelarian ditemui terdampar di Bangladesh selepas sebuah bot membawa berpuluh-puluh etnik Rohingya karam ketika laut bergelora, kata polis semalam, menjadikan angka korban meningkat kepada 23.

Lapan mayat ditemui di tebing Sungai Naf yang memisahkan Bangladesh dan Myanmar, manakala satu mayat lain dijumpai di Pulau St. Martin, lebih 6 kilometer dari lokasi pertama.

Ketua polis bandar sempadan Teknaf, Mian Uddin berkata, lebih separuh mangsa tragedi bot karam terbaharu itu merupakan kanak-kanak.

Beliau tidak menyebut bilangan mangsa yang hilang tetapi beberapa penumpang terselamat dan pegawai berkata, bot itu membawa antara 60 hingga 100 orang.

Seramai 15 orang diselamatkan oleh unit pengawal pantai Bangladesh setakat semalam, namun pihak berkuasa berkata, sebahagian mangsa mungkin berenang ke Myanmar.

Ramai pelarian Rohingya menyeberangi Sungai Naf di bahagian paling sempit tetapi sebahagian lagi melakukan perjalanan di laut dengan menaiki bot nelayan usang dan tidak sesuai belayar di perairan bergelora Teluk Benggala.

Hampir 160 orang ditemui lemas setakat ini.

Sementara itu, pihak berkuasa Myanmar berkata, tiada tanda-tanda serangan oleh pemberontak Islam Rohingya selepas gencatan senjata sebulan berakhir semalam.

Tentera Pembebasan Rohingya Arakan (ARSA) mengumumkan gencatan senjata pada 10 September lalu bagi memudahkan penghantaran bantuan ke Negeri Rakhine di mana serangan ARSA terhadap pasukan keselamatan pada 25 Ogos lalu mencetuskan operasi pembersihan tentera Myanmar.

Operasi tentera itu yang memaksa 520,000 penduduk awam Rohingya melarikan diri ke Bangladesh, dikecam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai penghapusan etnik. – AFP