WHO agih 900,000 dos vaksin taun di kem pelarian Rohingya


AFP - SEORANG kanak-kanak pelarian Rohingya diberi vaksin taun oleh sukarelawan sambil diperhatikan oleh rakan-rakannya di kem pelarian Thankhali, Daerah Ukhia, Bangladesh semalam.


COX’S BAZAR, Bangladesh – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mula mengagihkan 900,000 dos vaksin taun di kem-kem pelarian Rohingya di Bangladesh semalam ketika pihak berkuasa bertindak segera untuk mengelak berlakunya wabak pada skala besar.

Perkembangan itu berlaku selepas lebih 10,000 kes cirit-birit dilaporkan sepanjang beberapa minggu lalu, kata WHO.

Doktor di dua buah kem pelarian Rohingya memberitahu agensi berita Reuters bahawa terdapat sebilangan pesakit dengan simptom taun. Penyakit cirit-birit itu boleh mengakibatkan kematian jika tidak dirawat dalam tempoh 36 jam.

“Wujud risiko jelas wabak taun. Kes sporadik tidak dapat dielakkan tetapi kita tidak menjangkakan wabak besar seperti di Yemen,” kata wakil WHO di Bangladesh, Dr N. Paranietharan.

Yemen yang dilanda perang saudara, menghadapi krisis taun dengan 750,000 penduduknya menderita akibat bakteria tersebut yang tersebar melalui bekalan air dicemari najis manusia. – Reuters