Status bukan penghalang

NASI - Sudah empat tahun tidak mengambil nasi kerana mengakui tidak menggemari makanan ruji tersebut, diet pemakanan Syamim adalah berteraskan kepada lauk seperti ikan, ayam dan sayur-sayuran.


MASIH terlalu banyak perkara yang belum sempat diteroka oleh pelakon dan pengacara, Che Puan Syamim Farid, sementelah takdirnya tertulis untuk bergelar isteri pada tahun lalu.

Pada saat diijab kabul bersama pilihan hati, Tengku Ezrique Ezzuddean yang merupakan seorang kerabat diraja Selangor pada 21 Mac tahun lalu, Syamim baru sahaja mengorak langkah dalam bidang seni selama setahun.

Selepas lebih setahun merehatkan diri, kini Syamim atau nama lengkapnya, Syamim Mohd. Farid sudah bersedia untuk kembali ke gelanggang seni menerusi penampilannya dalam drama web berjudul Mata Cinta.

Jika dahulu pengacaraan adalah bidang yang memperkenalkan dirinya dalam dunia seni, sudah tiba masanya Syamim memcabar diri dan mencuba perkara baharu iaitu menguasai bidang lakonan.

Setahun

Demi kembali aktif, Syamim menjadikan Mata Cinta yang disiarkan secara eksklusif di laman web www.matacinta.com.my dan aplikasi Gempak sebagai pemanas enjin karier lakonannya.

Pun begitu, ada pengorbanan yang perlu dilakukannya sebelum benar-benar boleh kembali beraksi di hadapan kamera.

Kongsinya, dia terpaksa mengambil masa setahun memujuk dan meyakinkan suami tercinta tentang hasratnya untuk kembali aktif dalam bidang seni.

“Pada awal perkahwinan, memang susah juga untuk meyakinkan suami, sehingga memakan masa setahun untuk dia menerima permintaan saya. Saya meyakinkannya dengan memberitahu bahawa dunia hiburan kita bukan seperti Hollywood yang tiada batasan.

“Selepas sekian lama, barulah dia berikan kebenaran. Cuma, kalau setiap kali mendapat tawaran, saya perlu berbincang dengannya terlebih dulu tentang watak, skrip dan jalan cerita.

“Alhamdulillah, suami langsung tidak meletakkan sebarang syarat untuk saya kembali aktif. Apa yang penting, saya pandai menjaga diri sebagai seorang isteri dan nama baik keluarga, itu sudah memadai,” cerita Syamim membuka perbualan ketika ditemui pada majlis pelancaran Mata Cinta baru-baru ini.

Status

Adat bergelar menantu kepada sebuah keluarga kerabat diraja, pasti ada banyak protokol yang perlu dipatuhi. Namun, wanita berusia 26 tahun itu bersyukur kerana ibu dan bapa mertuanya turut memberi sokongan untuk dia kembali aktif berlakon.

“Apabila mendapat tahu saya akan kembali berlakon, mereka pula yang teruja dan tidak sabar untuk menonton. Barangkali, disebabkan sudah lama tidak melihat saya di kaca televisyen. Alhamdulillah, saya bersyukur sebab mereka merupakan ibu bapa yang memahami,” tuturnya ceria.

Bukan tidak pernah, namun akui Syamim, ada segelintir pihak yang sering bertanya tentang motif utama dia kembali bekerja. Hal ini kerana jika mengikut status dan kedudukan, dia boleh memilih untuk menjalani kehidupan sebagai seorang isteri di rumah sepanjang masa.

Berbeza dengan pendiriannya, pelakon drama Mamat Muka Selenge itu menegaskan, apaguna dia menabur bakat di lapangan seni jika usahanya terhenti sekerat jalan.

“Kalau tidak bekerja, saya mahu buat apa pula. Lebih baik bekerja sebab saya juga sudah ada asas dalam bidang ini. Lagipun di media sosial saya, ramai peminat bertanya tentang projek terbaharu.

“Dari situ saya sedar bahawa sentiasa ada peminat yang menghargai bakat ini. Sangat rugi kalau saya berhenti berlakon sedangkan ada peminat yang sentiasa menyokong karier,” jelasnya.

Berlakon

Sokongan demi sokongan yang diterima naib juara program Pencarian Dewi Remaja 2014/2015 itu daripada insan tersayang membuatkan dia yakin untuk terus mengorak langkah.

Fokusnya kini adalah untuk dunia lakonan, sementelah bidang itu memberi kepuasan selain memberi peluang dan menjadi platform kepadanya bagi mencuba pelbagai perkara baharu.

“Memang rindu dengan dunia pengacaraan, tapi sekarang saya mahu fokus kepada lakonan pula. Sangat seronok sebab dari situ saya boleh mencuba pelbagai watak dan tahu tahap kemampuan diri sendiri.

“Seperti dalam drama web Mata Cinta, saya memegang watak antagonis untuk pertama kali. Namun, tidak disangka rakan-rakan pelakon memberi komen positif dengan lakonan saya. Lagipun, selama ini saya banyak menerima tawaran protagonis, jadi apa salahnya serlahkan bakat dari sisi berbeza pula.

“Cuma sebelum menerima sebarang tawaran, saya perlu mengikut jadual suami kerana kami memang suka melancong. Pernah sekali saya terlepas tawaran besar dalam drama Meh Sandar Lagi gara-gara jadual penggambaran bertindih dengan percutian,” ujarnya sambil ketawa.

Selain karier, Syamim diajak berbicara tentang kehidupannya sebagai isteri. Wanita kelahiran Selangor itu hanya tersenyum manis saat diaju soalan tentang perancangan keluarga.

“Saya memang teringin sangat untuk menimang cahaya mata dan sudah lama bersedia untuk bergelar ibu. Bagaimanapun, semua bergantung pada rezeki. Kalau ada rezeki dalam masa terdekat, syukur Alhamdulillah saya menerimanya dengan gembira,” tutupnya mesra.