Khidmat penghantaran 10km dari outlet berhampiran

Fazley (dua dari kiri) dan Loke (kiri) pada majlis pelancaran portal Jaya Grocer di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.


sudah menjadi kebiasaan buat Syairah Sulaiman, 27, akan memasak juadah makan malamnya setelah pulang dari kerja.

Selain memberi kepuasan, memasak sendiri baginya lebih jimat berbanding makan di luar.

Sebelum ini, setiap minggu dia pergi ke pasar raya berhampiran rumahnya untuk membeli bahan mentah, namun kini tidak lagi.

“Kadang-kadang pergi ke pasar raya ini memenatkan kerana kawasan rumah saya sering mengalami kesesakan lalu lintas.

“Apabila terdapat aplikasi Jaya Grocer, ia memudahkan saya untuk mendapatkan bahan mentah dan keperluan lain.

“Malah, ia dihantar terus ke hadapan pintu rumah. Jadi, saya tidak perlu lagi menempuh kesesakan jalan raya untuk mendapatkan bahan-bahan keperluan harian,” jelasnya.

Tambahnya, penggunaan aplikasi tersebut membolehkannya merancang pembelian, sekali gus membantu menjimatkan perbelanjaan.

Sekiranya ke pasar raya, dia sering berbelanja secara berlebihan kerana terpengaruh dengan tawaran harga murah sekali gus membeli barangan yang kurang diperlukan.

Dimiliki oleh Trendcell Sdn, Bhd., Jaya Grocer mula beroperasi di Malaysia pada 2007 dan kini mempunyai 20 outlet yang kebanyakannya di Lembah Klang.

Ia juga merupakan pasar raya premium terbesar di negara ini.

Seiring perkembangan teknologi, urusan jual beli boleh di hujung jari. Justeru, pasar raya Jaya Grocer turut mengambil peluang keemasan itu dengan membangunkan satu portal dan aplikasi perdagangan elektronik ataupun dikenali sebagai e-Dagang.

Ketua Bahagian E-Dagang Jaya Grocer, J.C. Loke berkata, konsep beli-belah barangan dapur secara online memberi pengalaman baharu kepada pelanggannya.

“Setiap hari, kami berhadapan cabaran bagi memuaskan utiliti pelanggan termasuk pengalaman mereka terhadap portal dalam talian.

“Saya percaya dengan membangunkan portal dan aplikasi ini, kami bakal memperoleh pasaran yang lebih tinggi,” jelasnya pada majlis pelancaran portal tersebut di Starling Mall, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Sewaktu majlis pelancaran tersebut, juara Master Chef Selebriti, Datuk Fazley Yaakob turut dilantik menjadi duta Jaya Grocer.

Loke berkata, portal itu dibangunkan bertujuan untuk memberi kesenangan dan keselesaan kepada pengguna.

Jelasnya, pada masa sama melalui pelanggan boleh menjimatkan masa, wang dan tenaga.

“Pelanggan tidak perlu lagi mengharungi kesesakan lalu lintas untuk mendapatkan bahan mentah selain dapat menjimatkan kos petrol mereka.

“Alternatif yang kami sediakan ini, pelanggan hanya perlu membuat pesanan secara online dan barangan yang dipesan akan dihantar terus ke hadapan pintu rumah,” jelasnya.

Laman beli-belah secara online Jaya Grocer juga mesra pengguna dan mudah untuk digunakan.

Selain boleh diakses menerusi komputer riba melalui laman web www.jayagrocer.com, pengguna juga boleh membeli-belah secara terus dengan menggunakan aplikasi yang boleh dimuat turun ke telefon pintar melalui platform App Store dan Google Play.

Aneka produk


PASAR raya Jaya Grocer menawarkan pelbagai barang keperluan harian.


Portal online Jaya Grocer menawarkan aneka jenis produk melangkaui pelbagai kategori dan terdapat lebih 10,000 barang yang ditawarkan.

Antara barangan yang tersenarai termasuklah daging segar, buah-buahan, sayur-sayuran dan barangan isi rumah.

Setiap hari produk akan dikemas kini dari segi harga, promosi, barangan terlaris mingguan dan keluaran terbaharu.

Tidak hanya itu, portal itu turut menyediakan produk makanan segar dan bermusim dari Amerika Syarikat, Eropah dan Australia.

Lebih menarik, ia juga menjual makanan organik dan bebas gluten khusus kepada pelanggan yang mementingkan gaya hidup sihat.

Untuk menggunakan portal tersebut, pengguna hanya perlu memasukkan poskod kawasan tempat tinggal sebelum membuat pesanan dan penghantaran akan dibuat dalam radius sekitar 10 kilometer (km) dari outlet Jaya Grocer berhampiran.

Tiada minimum pesanan yang dikenakan dan kos penghantaran ialah sebanyak RM9.

Namun, bagi pembelian yang melebihi RM250 penghantaran adalah percuma.

“Masa yang diambil untuk penghantaran barang adalah sekitar satu jam.

“Setakat ini, pelanggan di sekitar Lembah Klang berpeluang untuk menikmati servis beli-belah secara online di Jaya Grocer. Dalam masa yang sama, khidmat ini akan diperluas di kawasan Cyberjaya dan Putrajaya tidak lama lagi,” jelas Loke.

Bayaran boleh dilakukan secara online menggunakan kad debit atau kredit.

Program menarik

Tambahnya, terdapat pelbagai program menarik yang disediakan di platform online itu dan pelanggan jangan ketinggalan untuk menantikan perkembangan terbaharu dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Fazley berkata, dia begitu teruja dan gembira kerana dilantik menjadi duta Jaya Grocer.

Baginya, Jaya Grocer merupakan pasar raya terbaik di negara ini yang membekalkan bahan-bahan mentah yang segar.

“Dengan adanya portal ini, ia membantu memudahkan urusan harian pengguna. Pengguna tidak perlu lagi memikirkan masalah untuk mendapatkan bahan mentah dan sebagainya.

“Dengan hanya menggunakan komputer dan telefon pintar, kesemua barangan keperluan boleh didapatkan dengan mudah,” jelasnya.

Fazley, 39, yang berbesar hati dilantik sebagai duta menyifatkan tanggungjawab tersebut sesuatu yang baharu dan berharap dapat membantu meningkatkan jualan pasar raya tersebut.

Beliau yang merupakan pelanggan setia Jaya Grocer juga menggunakan hampir 99 peratus bahan masakan di restorannya yang diperoleh di pasar raya berkenaan.