Tangani sikap agresif anak muda


VIDEO anak memukul ibu yang tular di laman sosial menimbulkan perbualan hangat dan pelbagai reaksi masyarakat.


MUTAKHIR ini, pelbagai laporan melibatkan salah laku remaja tular di laman-laman sosial dan ada juga yang tersiar di dada-dada akhbar.

Berbanding dahulu, remaja pada zaman yang serba moden kini mudah terpengaruh dan terdedah kepada faktor-faktor yang menjadi pendorong kepada mereka untuk melakukan sesuatu yang salah dari segi undang-undang.

Walaupun negara kita baru digemparkan dengan tindakan sekumpulan remaja yang dikatakan sanggup membakar pusat tahfiz sehingga mengorbankan ramai nyawa, ia langsung tidak memberi kesedaran kepada anak-anak muda lain.

Baru-baru ini juga viral di media sosial apabila seorang remaja lelaki yang baru berusia belasan tahun tergamak memukul ibunya sendiri.

Satu kes lain di Kota Bharu, Kelantan pula, seorang pemuda dihukum penjara 12 bulan kerana bertindak melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya sendiri.

Mahkamah Majistret Kota Bharu memberi peluang kepada ibunya untuk menjatuhkan hukuman terhadap anaknya sendiri.

Majistret Nik Habri Muhamad memberi peluang itu kepada Rahimah Abdul Rahman, 52, sebagai pengajaran kepada anaknya, Adam Abdullah, 28, selepas tertuduh bertindak melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya dengan mengacukan sebilah gunting bermaksud hendak menakutkan mangsa.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan, Pusat Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Mohd. Suhaimi Mohamad berkata, sikap agresif sesetengah anak muda yang sanggup memukul ibu sendiri menunjukkan manifestasi mental remaja kini sedang mengalami pergolakan akibat tekanan hidup.

Motif

Menurutnya, kejadian menularkan kes keagresifan anak telah menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat sehingga ada pihak yang menyalahkan keluarga kerana dikatakan tidak berjaya membesarkan anak-anak dengan sempurna.

“Orang yang menularkan kejadian yang berlaku juga adalah ahli keluarga sendiri dan apakah motif sebenar sehingga sanggup membuka ‘pekung di dada’ untuk menjadi tatapan umum.

“Namun, apa yang berlaku boleh dijadikan teladan kepada kita semua untuk menilai sejauh manakah gaya keibubapaan dapat membantu sosialisasi anak-anak,” katanya.

Tambahnya, gaya keibubapaan sangat penting dalam perkembangan kanak-kanak.

Seorang anak itu mempelajari sesuatu tingkah laku daripada orang dewasa untuk bertindak.

Umumnya, terdapat empat bentuk gaya asuhan yang diamalkan oleh ibu bapa iaitu permisif, autokratik dan autoritatif.

“ Ibu bapa yang mengamalkan gaya permisif akan menggunakan komunikasi secara terbuka dengan anak-anak sehingga hampir tidak ada peraturan dan sentiasa cuba memenuhi keperluan anak-anak.

“Ibu bapa yang menggunakan gaya asuhan autokratik sebaliknya mengenakan kawalan yang ketat kepada anak-anak dan menggunakan kaedah disiplin dan hukuman,” jelas Mohd. Suhaimi.

Tambahnya, satu lagi gaya asuhan ibu bapa ialah autoritatif iaitu seorang anak itu diberikan peluang untuk membuat keputusan dan ibu bapa lebih bersikap terbuka dan rasional dalam membuat sesuatu keputusan dalam keluarga.

Ketiga-tiga gaya asuhan ini sebenarnya bercirikan sosialisasi perkembangan seorang kanak-kanak.

Dalam masa yang sama, Mohd. Suhaimi menegaskan, apabila seorang anak itu meningkat remaja, model peranan dalam keluarga adalah penting.

Jelasnya, seorang remaja akan menjadikan ibu atau bapanya sebagai model peranan.

“Sekiranya ketiadaan model peranan ini, remaja tersebut akan keliru dan mungkin mengalami konflik identiti. Karisma seorang ibu dan bapa itu sangat penting dalam keluarga.

“Dengan pelbagai cabaran yang dihadapi oleh keluarga pada masa kini, ibu bapa perlu diberikan peluang untuk memperbetulkan keadaan melalui bimbingan agama, latihan keibubapaan dan sokongan persekitaran,” katanya.

Tambahnya, masyarakat sepatutnya tidak menghukum mana-mana pihak kerana ia akan memberi kesan buruk yang sukar untuk dijangkakan sama ada kepada anak atau keluarga itu sendiri.

Sebagai ibu bapa, kita hendaklah tahu tentang masalah dan tekanan yang sedang dialami oleh anak dan jangan biarkan anak-anak membesar dengan gajet atau hiburan semata-mata tanpa ada belaian dan kasih sayang yang dijalinkan dalam hubungan seharian.

Sekiranya ibu bapa mengenal pasti anak-anak mengalami masalah perkembangan atau kesihatan, mereka hendaklah segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan daripada pakar yang diiktiraf.