Rakan KKR ‘mata-mata’ Kementerian Kerja Raya


Rakan KKR sedikit sebanyak membantu pihak Kementerian Kerja Raya dalam melaksanakan peranan mereka dengan lebih lancar.


Istilah Rakan Cop atau Rakan Polis mungkin sudah biasa didengari namun pasti ramai yang tidak tahu akan kewujudan Rakan Kementerian Kerja Raya atau singkatannya Rakan KKR.

Tidak jauh beza dengan Rakan Cop, inisiatif Rakan KKR berperanan sebagai medium perantara antara KKR dengan masyarakat sekali gus mewujudkan interaksi dua hala yang lebih berkesan bagi manfaat bersama.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KKR, Datuk Sarani Dollah berkata, Rakan KKR yang diwujudkan pada awal 2014 itu banyak menyumbang kepada penambahbaikan kementerian terutama dalam memberikan perkhidmatan jalan raya dan infrastruktur yang lebih baik kepada pengguna.

“Rakan KKR ini umpama jambatan penghubung atau lebih tepat lagi ‘mata-mata’ antara kementerian dan masyarakat dalam menyampaikan isu dan permasalahan terutamanya berkaitan jalan raya.

“Meskipun tidak ditubuhkan secara rasmi, inisiatif yang diilhamkan Menteri KKR, Datuk Seri Fadillah Yusof ini mendapat respons positif daripada orang ramai dengan keanggotaannya kini melebihi 300 orang dari seluruh negara,” katanya kepada Bernama ketika ditemui semasa program Jelajah FTRoadpedia Zon Utara anjuran kementerian itu baru-baru ini.

Jelajah FTRoadpedia Zon Utara yang turut disertai beberapa Rakan KKR itu adalah siri keempat selepas jelajah Zon Tengah pada Ogos 2016, Zon Timur pada Februari dan Zon Selatan pada Mei lalu.

Ia bertujuan mempromosikan Jalan Persekutuan sebagai jalan utama dan menggalakkan penggunaannya sebagai satu laluan kembara budaya melalui tempat-tempat menarik yang boleh dilawati.

Sarani mengulas lanjut, inisiatif mewujudkan Rakan KKR bermula dengan mengenal pasti seterusnya mengundang mereka yang aktif dalam media sosial seperti Facebook dan Twitter termasuk para blogger yang juga pengadu dan cyber troopers kepada pihak kementerian.

“Mereka ini adalah orang awam yang sering menulis, memuat naik status, berkongsi malah adakalanya menghentam KKR berhubung isu melibatkan kementerian dalam laman sosial seperti isu kerosakan jalan raya atau infrastruktur berkaitan.

“Kementerian berasa terpanggil untuk menjadikan mereka ini sebagai rakan atas kapasiti penyertaan orang awam seperti mereka ini secara langsung boleh menambah baik peranan kementerian.

“Selain itu, ia juga berfungsi menyebarkan peranan KKR kepada masyarakat melalui platform media sosial yang menjadi pilihan ramai hari ini,” tambahnya.

Sukarela

Penyertaan untuk menjadi Rakan KKR adalah secara sukarela dengan mengikuti Rakan KKR di Facebook dan Twitter.

Mereka yang menyertai Rakan KKR tidak diberi sebarang bayaran, gaji mahupun elaun.

Anggota Rakan KKR yang konsisten dan aktif akan berhubung melalui kumpulan WhatsApp yang turut disertai oleh Menteri KKR bagi memastikan sistem penyampaian lebih berkesan dan telus.

Selain bertindak sebagai pengadu tegar dan pengkritik terhadap isu melibatkan KKR, mereka dalam masa sama membantu menjawab dan menjelaskan kepada orang ramai mengenai isu yang adakalanya menjadi salah faham segelintir pihak.

Seorang Rakan KKR yang turut terlibat dalam program jelajah selama tiga hari itu, Zakhir Mustaffa berkata, penyertaannya adalah disebabkan menyedari hak dan peranannya sebagai seorang pengguna jalan raya.

“Pendek kata, majoriti kami (Rakan KKR) adalah golongan yang mengecam KKR. Sebagai pengguna jalan raya apabila melihat jalan banyak yang berlubang, tidak diselenggara dengan baik dan tidak dicat, pasti kita tidak berpuas hati.

“Kecaman itu disuarakan dalam media sosial sehingga ia tular lalu KKR memberi respons dengan memanggil kami seterusnya membawa kepada penubuhan Rakan KKR.

“Saya melihat ia sebagai satu langkah berani KKR dalam memperbaiki perkhidmatan mereka ke tahap yang lebih baik dengan menggalakkan penglibatan orang awam melalui alam maya,” kongsinya.

Tambah Zakhir, komunikasi dua hala itu sebenarnya membuka ruang penambahbaikan agar wujud situasi menang-menang antara rakyat selaku pengguna dan KKR.

Jelasnya lagi, ia disifatkan sebagai serampang dua mata yang memberi kelebihan kepada pengguna untuk menikmati infrastruktur lebih baik di samping mengangkat imej KKR.