Kebakaran hutan, lebih 2,000 rumah hangus


AFP - KAWASAN perumahan Journeys End Mobile Home Park musnah akibat kebakaran di Santa Rosa, California kelmarin.


SANTA ROSA – Pasukan bomba berusaha mengawal kebakaran di California kelmarin apabila jumlah kematian meningkat kepada 15 orang, manakala beribu-ribu orang kehilangan tempat tinggal.

“Rumah telah musnah menjadi abu,” kata seorang jurulatih persendirian, Jack Dixon di Santa Rosa, sebuah bandar yang mempunyai 175,000 penduduk.

Dixon berkata, kejiranannya terselamat apabila api tersebut bertukar arah, namun banyak kawasan lain yang tidak bernasib baik.

“Saya dikelilingi kemusnahan dan berasa beruntung kerana musibah tidak berlaku kepada saya,” katanya.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengisytiharkan bencana besar di California dan memperuntukkan dana serta sumber persekutuan untuk membantu mengawal 17 kebakaran besar di barat negara itu.

Berikutan itu, Jabatan Syerif Daerah Sonoma di laman Facebook berkata, pihaknya menerima laporan sebanyak 200 orang hilang, manakala lebih 2,000 rumah termasuk bangun­an kilang dan struktur hangus.

Kira-kira 25,000 pula dipindahkan di daerah Sonoma dan 5,000 orang kini berada di tempat perlindungan, kata jabatan berkenaan.

Kebakaran itu telah merebak di kawasan seluas lebih 46,500 hektar, menurut pihak berkuasa. – AFP