Bazar kubah biru tarikan utama Uzbekistan


PEMANDANGAN indah dari luar Chorsu Bazaar yang menjadi tumpuan masyarakat tempatan untuk mendapatkan sayur-sayuran dan buah-buahan.


Pengembaraan di bumi Uzbekistan yang memiliki seni bina bangunan menakjubkan, sutera mewah dan negara yang kaya dengan sejarah pasti menambat hati anda.

Di keliling negara-negara seperti Afghanistan, Tajikistan, Kazakhstan, Tukmenistan dan Kyrgzstan, Uzbekistan pernah menjadi hab budaya di Asia Tengah.

Imej romantik kubah biru, padang pasir berwarna keemasan, rempah-ratus dan tekstil antara tarikan utama pelancong ke negara yang majoriti penduduknya beragama Islam itu.

Saya memulakan perjalanan di Tashkent iaitu sebuah bandar metropolis mengagumkan dengan suasana sekitar yang tenang.

Bandar itu dipenuhi bangunan berwarna pic yang diilhamkan daripada zaman silam dengan patung-patung pejuang sosialis menghiasi kawasan sekitar.

Salah satu perkara menarik di Tashkent ialah jalan raya yang sentiasa lenggang. Ia merupakan sebuah kota yang sesuai untuk pelancong beristirahat.

Laluan pejalan kaki yang luas dan berbumbung sangat sesuai untuk pelancong berjalan pada waktu petang ke taman-taman.

Walaupun bahang musim panas yang membakar pada bulan Ogos, rumput di taman-taman itu tetap terpelihara rapi hasil bantuan alat penyiram air automatik.

Agenda pertama saya di Uzbekistan adalah menukar wang dalam pasaran gelap.

Pemandu teksi yang dikenali sebagai Rubin membawa saya bertemu seorang wanita yang digelar babushka yang duduk di bawah sebatang pokok sambil dikelilingi timbunan wang.

Mata wanita itu terpesona selepas melihat wang dollar Amerika saya yang baharu sebelum membuat pertukaran AS$200 (RM846).

Saya terpegun melihat wanita itu mengira wang secara manual. Saya rasa, hampir mustahil untuk mengira wang dengan cepat seperti orang Uzbekistan.

Sebaik tiba di hotel, saya mengira semula secara perlahan-lahan jumlah wang ditukar, ternyata ia mencukupi.

Justeru, saya yakin Uzbekistan sangat selamat buat pengembara solo wanita seperti saya.

Tashkent masih mempunyai pengaruh Rusia yang kuat. Ia boleh dilihat daripada aspek struktur konkrit seperti Muzium Lenin dan hotel.

Di sebelah utara bandar itu, terdapat sebuah bazar yang dikenali sebagai Chorsu Bazaar. Ia menempatkan para penjual yang terdiri daripada petani dalam sebuah kubah biru besar.

Token kereta api


Dataran Ragistan merupakan lambang Samarkand sewaktu kemuncak zaman pemerintahan Babur yang mengasaskan Empayar Mughal India pada tahun 1526.


Di dalamnya, terdapat beratus-ratus gerai yang menjual pelbagai jenis sayur dan buah pada harga berpatutan.

Cara paling menarik untuk melihat keindahan negara itu adalah dengan menaiki perkhidmatan kereta api, Tashkent Metro.

Walaupun kekurangan papan tanda bahasa Inggeris, saya menemui cara mudah untuk membeli token iaitu dengan mengunjungi pejabat Kassa.

Di sana, anda berpeluang merasai pengalaman menaiki kereta api tanpa perlu bersesak-sesak dan melihat stesen yang dibina seperti gaya Moscow.

Saya meneruskan perjalanan ke Samarkan menggunakan kereta api laju yang dikenali sebagai Afrosiab to Samarkand.

Duduk di tempat duduk belakang, saya sempat melelapkan mata seketika, sekali gus terlepas peluang melihat dataran Registan buat kali pertama.

Apabila tiba pada lewat petang, kekecewaan saya terubat. Saya dapat melihat pokok-pokok mulberi dan dataran Registan yang tersergam indah di tengah-tengah padang pasir.

Dataran Ragistan merupakan lambang Samarkand sewaktu kemuncak zaman pemerintahan Babur yang mengasaskan Empayar Mughal India pada tahun 1526.

Saya mengagumi jubin geometri yang dihiasi bunga tulip, teratai, iris, kubah bergalur dan pintu melengkung. Di sekitar kawasan itu, saya melihat beberapa pasangan pengantin mengambil gambar perkahwinan.

Apabila matahari terbenam dan bulan menjelma, bangunan itu diterangi dengan sinaran cahaya. Pemandangan itu merupakan satu pengalaman yang tidak akan saya lupakan.

Samarkand penuh dengan seni bina yang indah. Saya menghabiskan masa selama lima hari di kawasan itu untuk melawat Masjid Bibi-Khanym, Kompleks Shah-i-Zinda dan Makam Gur-Emir.

Saya juga sempat mencari cenderamata di beberapa buah kedai di sekitar kaki lima Samarkand.

Kemudian, saya menuju ke Bukhara menggunakan kereta api tradisional yang perlahan disebabkan oleh kerja-kerja penyelenggaraan.

Selepas mendaftar masuk di Minzifa Inn, saya terus menuju ke tempat bersejarah di Bukhara.

Saya ingin melihat Lyab-i-Hauz (kolam di Parsi) yang dibina ketika abad ke-16. Ia masih menjadi titik pertemuan bagi penduduk tempatan yang berkumpul di kafe sambil menghirup teh hijau dan bir.

Lokasi popular


WANITA tempatan mengenakan pakaian tradisi Uzbekistan.


Bukhara adalah sebuah bandar kecil yang lebih tenang daripada Samarkand. Ia juga selamat untuk bersiar-siar pada waktu malam.

Bukhara mempunyai dataran Registan sendiri yang dikenali sebagai Po-i-Kalya. Di sana, pelancong boleh melihat bangunan tertinggi di Asia Tengah iaitu Minare Kalyan.

Saya juga sempat melawat Kubu Art yang merupakan dinding besar. Menurut sejarah, dua orang tentera British, Connolly dan Stoddart telah ditawan oleh Emir Bukhara pada abad ke-19 semasa kemuncak Great Game (konfrontasi antara Rusia dan Amerika Syarikat).

Kemudian, saya bergerak ke Khiva di Urgench yang menjadi lokasi popular pelancong.

Di sana, pelancong dapat mengimbau kembali zaman silam di Tashkent.

Pada mulanya, saya mahu kereta api tengah malam menuju ke Urgench. Namun, saya memilih untuk menaiki teksi yang diatur oleh pengurus hotel pada awal pagi.

Sebaik tiba di Urgench, pemandu menyuruh saya turun dari teksi. Saya agak keliru sehinggalah terlihat kelibat wanita asing duduk di tepi jalan.

Rupanya, wanita tersebut adalah Sandra dari Utah. Dia sedang menunggu ketibaan saya untuk menaiki teksi bersamanya menuju Khiva yang terletak 35 kilometer dari bandar Urgench.

Khiva adalah sebuah muzium yang dilindungi oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Sebelum ini, kawasan itu adalah tempat perdagangan popular di Laluan Sutera. Kini, ia berkembang sebagai kawasan perubahan yang dikelilingi ruang perniagaan.

Masjid dan menara Khiva yang indah telah dipulihkan dengan teliti. Bandar ini kelihatan cukup mempesonakan apabila dilihat dari atas.

Apabila tiba waktu senja, saya dibawa memanjat salah satu menara untuk melihat keindahan Khiva.

Khiva adalah destinasi terakhir saya di Uzbekistan. Pada pendapat saya, negara ini salah satu tempat paling selamat dan santai untuk dilawati.