Bulgaria selami budaya orang China kerana yogurt


PERKAMPUNGAN Momchilovtsi merupakan pengeluar yogurt berkualiti tinggi.


KEBANYAKAN penduduk Bulgaria sering membaca buku-buku mengenai China. Malah, sesetengah daripada mereka fasih berbahasa Mandarin.

Apa yang pasti, penduduk Bulgaria tidak perlu berkelana ke China kerana budaya negara itu diperkenalkan melalui yogurt.

Menurut seorang penduduk kampung Momchilovtsi di selatan Bulgaria, Tsvetka Radkova, sebenarnya sukar untuk mempelajari bahasa Mandarin.

“Anak perempuan saya, Veselina bersama rakannya sudah fasih bahasa itu dan menerima sorakan daripada rakan-rakan sekelas,” kata Radkova yang masih belajar bahasa Mandarin di kampung itu.

Bagaimanapun, tidak ramai penduduk Eropah dan Bulgaria berminat untuk melakukan perkara itu.

Malah, Momchilovtsi juga kurang dikenali kerana lokasi kawasan itu terletak di lereng pergunungan Rhodope yang terletak di tenggara benua Eropah yang bersempadan dengan Greece.

Di China, Momchilovtsi dikaitkan dengan keindahan, keajaiban dan panjang umur.

Malah, nama itu turut digunakan pada sejenis minuman yogurt yang paling digemari oleh penduduk di negara tembok besar tersebut.

Pada musim panas ini, Momchilovtsi menjadi tuan rumah kepada beratus-ratus pelancong China yang menghadiri perayaan yogurt China-Bulgaria di kampung berkenaan.

Papan-papan tanda di kawasan itu ditulis dalam bahasa China dan ia memberi arahan kepada para pelancong untuk pergi ke dewan di kampung itu bagi mendengar ceramah mengenai manfaat kesihatan yogurt dan keju yang luar biasa.

Kanak-kanak berlari sambil berkata Ni Hao (Hello dalam bahasa Cina). Mereka memberikan risalah festival dan peta kampung dalam bahasa Bulgaria, Cina serta Inggeris kepada pelancong dari China.

Malah, pertandingan ratu cantik diadakan pada hari kedua perayaan bagi memilih Ratu Yogurt yang baharu dan menghiasi pembungkusan yogurt Momchilovtsi.

“Terdapat dua perkara yang perlu diketahui oleh setiap pelancong China mengenai Bulgaria iaitu yogurt dan bunga ros,” kata seorang pelawat, Lei Lei dari Shanghai.

Kebanyakan penduduk Momchilovtsi sudah terbiasa dengan kehadiran pelancong yang ramai sejak syarikat China, Bright Dairy membawa balik yogurt yang mengandungi bakteria pada tahun 2009.

Sejak itu, syarikat berkenaan terus berkembang dan diminati oleh penduduk China.

Jualan teratas

Malah, yogurt yang dihasilkan di lokasi itu pula mengandungi rasa yang hebat dan mudah dimakan serta tidak perlu dibekukan.

Dikenali dalam bahasa China dengan perkataan pendek, Mosilian, ia merupakan penjual teratas dalam sektor pengeluaran yogurt yang berkembang pesat.

Jenama itu turut dijual di kebanyakan pasar raya dan sering terlihat di kawasan perhentian bas serta kaca televisyen.

Menurut jurucakap Bright Dairy, kehebatan yogurt itu terus berkembang ekoran peristiwa skandal susu tepung yang tercemar di China pada tahun 2008.

Insiden itu telah mendorong ramai pengguna ke arah jenama yang dilihat berkualiti antarabangsa dan lebih selamat.

Dengan slogan, ‘Rahsia ajaib kampung di mana orang boleh hidup lama, Momchilovtsi’ jualannya mencecah 6 bilion yuan (RM3.83 bilion).

“Momchilovtsi terkenal sebagai sebuah perkampungan panjang umur kerana bilangan orang berusia lebih 100 tahun sangat ramai di sini.

“Kajian yang kami lakukan juga mendapati, salah satu rahsia umur panjang ialah kualiti yogurt yang dihasilkan di perkampungan ini,” kata seorang jurucakap, Pan Jianjun.

Sekurang-kurangnya tiga peserta dalam kursus itu fasih berbahasa Mandarin dan sekitar 40 orang lagi penduduk tempatan telah mendaftar untuk mempelajari bahasa berkenaan.

Menurut Datuk Bandar, Siyka Surkova, seramai 1,200 penduduk di Momchilovtsi sudah menjadi tuan rumah bagi 1,000 pelancong China yang datang setakat ini.

Setiap tahun dianggarkan seramai 5,000 hingga 6,000 pengunjung dari China datang ke kampung itu.

Pada tahun 2014, rancangan televisyen realiti, Survivor versi China telah diadakan di Momchilovtsi.

Tujuh peserta dihantar untuk menemui keluarga angkat mereka yang terdiri daripada penduduk tempatan dengan berbekalkan kamus China-Bulgaria.

Setiap tahun, sekitar 18,500 pelancong China berkunjung ke Bulgaria. Sebenarnya, penerbangan terus antara kedua-dua buah negara itu dianggap terkebelakang.

Ini kerana pengunjung China yang ingin ke Momchilovtsi perlu mengambil penerbangan domestik di Eropah ke Sofia atau Plovdiv terlebih dahulu. Mereka akan menempuh perjalanan yang panjang ke kawasan perkampungan sebelum tiba ke destinasi yang dituju tetapi ia masih dianggap berbaloi. – AFP