46 terbunuh akibat banjir di Vietnam


AFP - PENDUDUK melihat jambatan yang runtuh akibat banjir besar di wilayah utara Yen Bai, Vietnam semalam.


HANOI – Sekurang-kurangnya 46 orang terbunuh dan 40 lagi hilang akibat banjir dan tanah runtuh di bahagian utara dan tengah Vietnam, ujar pihak berkuasa bencana semalam.

Hujan lebat melanda negara itu ming­gu ini dengan utara wilayah Hoa Binh mencatat 11 kematian dan 21 lagi hilang.

“Kami mengerahkan semua agensi untuk mencari orang hilang.

“Sekurang-kurang 46 orang mati di seluruh wilayah dan pihak berkuasa berdepan cabaran untuk mencari puluhan yang hilang,” ujar jurucakap Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Vietnam.

Seorang wartawan daripada Agensi Berita Vietnam turut hanyut ketika melintasi sungai menggunakan jamba­tan di wilayah Yen Bai kelmarin. Pihak berkuasa masih mencarinya semalam.

Media tempatan melaporkan, sekurang-kurangnya 18 orang terbenam dalam insiden tanah runtuh di wilayah Hoa Binh dengan 15 lagi hilang semalam.

“Banjir tersebut sangat teruk. Air melimpah dari bukit dengan ketinggian 3 meter. Jalan raya telah ditutup kerana banjir,” ujar seorang penduduk, Ba Dien kepada laman berita, VNExpress. – AFP