Kontraktor penipu dijel 30 bulan


Wan HAZRUL dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan dan tiga sebatan di Mahkamah Majistret Kota Bharu atas kesalahan menipu tiga individu.


KOTA BHARU – Tindakan seorang kontraktor menipu tiga individu termasuk dua pemain bola sepak bagi tujuan tempahan nombor plat kenderaan membabitkan nilai sebanyak wang RM43,100 memakan diri apabila dia dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan dan tiga sebatan di dua Mahkamah Majistret berasingan di sini semalam.

Tertuduh, Wan Hazrul Anuar Wan Hussein, 34, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nik Habri Muhamad.

Dia yang bekerja sebagai kontraktor turut mengaku bersalah atas satu lagi pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Azrul Hasyimi Mohammad.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan di hadapan Nik Habri, Wan Hazrul Anuar didakwa telah memperdaya pemain bola sepak Kelantan, Mohd. Nor Farhan Muhammad, 33, dengan mendorong mangsa membuat transaksi pemindahan wang sebanyak RM10,000 ke dalam akaun Maybank 163028624936 atas nama Shahriza Solahuddin, 38.

Wang tersebut kemudian dipindahkan ke akaun CIMB bank tertuduh bernombor 7616981604 bagi tujuan tempahan nombor pendaftaran kenderaan WWW10.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah sewa di Kelantan Trade Centre, Jalan Bayam di sini kira-kira pukul 8.17 malam pada 21 Mac lalu.

Di mahkamah sama, dia turut didakwa menipu seorang peniaga aksesori kereta, Low Eng Seng, 49, sebanyak RM29,600 untuk tempahan beberapa nombor pendaftaran kenderaan.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.