Didakwa pecah amanah RM1.3 juta


Asmira hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam untuk berdepan dua pertuduhan pecah amanah membabitkan kerugian hampir RM1.3 juta.


KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang juga ibu kepada lima anak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan pecah amanah membabitkan kerugian hampir RM1.3 juta dua tahun lalu.

Tertuduh, Asmira Ariffin, 41, yang merupakan pengurus pembayaran dan pemprosesan di sebuah syarikat telekomunikasi membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh yang bekerja di Jabatan Pe­ngutipan Wang syarikat telekomunikasi didakwa melakukan pecah amanah masing-masing berjumlah RM720,005 dan RM570,753.

Kedua-dua jumlah itu adalah harta yang diamanah­kan yang mana tertuduh mempunyai kawalan ke atas wang kutipan harian tersebut daripada cawangan syarikat tele­komunikasi itu di sebuah pusat beli-belah, di mana dia telah gagal mendepositkan wang berkenaan ke dalam akaun syarikatnya.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan antara 18 Ogos 2015 hingga 21 April tahun ini di sebuah pusat beli-belah di Jalan Imbi, di sini mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun, maksimum 14 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.