Kemeriahan festival bulan pertengahan musim luruh




KUNJUNGAN Kenneth Ng, 33, ke pusat beli-belah IOI City Mall pada lewat petang hujung minggu itu sedikit luar biasa berbanding hari sebelumnya.

“Sewaktu sedang membeli-belah, saya terdengar bunyi meriah yang datang dari The Symphony Walk.

“Rupa-rupanya sambutan bersempena festival bulan pertengahan musim luruh sedang diadakan dan ia terbuka kepada orang ramai. Saya ingin menyertainya bagi memberi pengalaman baharu kepada dua orang anak saya,” ujarnya yang ditemui di The Symphony Walk, IOI City Mall, Putrajaya baru-baru ini.

Anak perempuan Kenneth yang berumur empat tahun dan adik lelakinya berusia dua tahun telah mengambil bahagian dalam acara membuat belon buih gergasi.

Mereka kelihatan sangat seronok apabila berjaya menghasilkan banyak belon buih gergasi yang kemudiannya melayang-layang di udara.

Mereka juga tidak melepaskan peluang untuk menyertai kanak-kanak lain membawa tanglung yang telah dinyalakan lilin di dalamnya dan membontoti ekor naga.

“Walaupun kami berbangsa Cina, sambutan seperti ini tidak lazim diraikan, selalunya kami hanya berbalas kek bulan sebagai tanda kesyukuran.

“Saya berasa seronok melihat festival yang merupakan keraian selepas musim menuai dan disambut oleh kaum Cina ini diraikan dengan meriah oleh masyarakat majmuk berbilang bangsa,” kongsinya yang berasal dari Cheras, Selangor.

Festival bulan pertengahan musim luruh ialah sambutan bagi meraikan musim menuai dan disambut umumnya oleh masyarakat Cina, Korea dan Vietnam. Ia diadakan pada hari ke-15 dalam bulan kelapan kalendar Lunar iaitu sewaktu bulan penuh.

Perbuatan mengikut ekor naga sambil memegang tanglung dikatakan melambangkan perpaduan. Sama juga halnya dengan simbolik kuih bulan.

Tradisi membuat dan berkongsi kek buah merupakan salah satu ciri sambutan festival bulan pertengahan musim luruh. Dalam budaya Cina, bentuk bulat melambangkan kesempurnaan dan perjumpaan.

Oleh itu, perkongsian dan makan kuih bulan bersama ahli keluarga semasa minggu perayaan menandakan kesempurnaan dan perpaduan sesebuah keluarga.

Berkongsi keterujaan dan semangat perpaduan yang sama ialah Nor Farhana Mohd. Jamari, 31.

Dia yang pernah mendapat pendidikan awal di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Kajang, Selangor mengakui agak kerap melihat sambutan seumpama itu sebelum ini.

Semangat perpaduan




“Penglibatan kali ini lebih bermakna kerana saya membawa anak tunggal yang berumur dua tahun bersama.

“Saya suka aktiviti yang melibatkan penyertaan berbilang bangsa seperti ini kerana ia dapat menyemarakkan semangat perpaduan. Perkara itu yang cuba saya terapkan kepada anak sejak kecil,” jelas pekerja swasta itu.

Sementara itu, Pengurus Pengiklanan dan Promosi IOI City Mall, Katy Teo memberitahu, objektif penganjuran festival bulan pertengahan musim luruh kali kedua di pusat beli-belah itu ialah untuk menghubungkan masyarakat daripada latar belakang berbeza tanpa mengira kaum serta usia.

“Sebagai sebuah pusat beli-belah di sebuah kawasan kejiranan strategik, kami menjadi tumpuan pengunjung pelbagai kaum dan dari luar negara.

“Melalui sambutan ini, kami ingin menyumbang kembali kepada pelanggan setia yang tidak putus-putus memberi sokongan untuk meningkatkan jualan di setiap premis di sini,” ulasnya.

Pada sambutan itu juga, sebanyak tiga buah kios jualan mengambil bahagian dalam Mid-Autumn Affair Corner iaitu Baker’s Cottage dan JMM Cookies yang menawarkan aneka kek bulan serta J-Fun Lantern yang menjual tanglung pelbagai jenis.