Kelantan cuba disabotaj

BIBI RAMJANI (kiri) menagih komitmen tinggi pemain Kelantan untuk meraih kemenangan ke atas Melaka United pada aksi terakhir Liga Super di Stadium Hang Jebat hujung bulan ini.


KELANTAN yang mengharapkan talian hayat untuk kekal dalam Liga Super musim depan didakwa berdepan cubaan sabotaj pada aksi penutup tirai Liga Super menentang Melaka United pada hujung bulan ini.

Ia dikaitkan dengan dakwaan wujud konspirasi dalam kalangan pemain dan beberapa individu bergelar Datuk untuk melihat Kelantan jatuh ke Liga Premier musim depan.

Perkembangan itu diperkuatkan dengan tindakan jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail mengambil cuti selama seminggu dan dikhabarkan The Red Warriors akan mempertaruhkan para pemain muda untuk perlawanan terakhir di Stadium Hang Jebat pada 28 Oktober ini.

Lima pemain Kelantan dikatakan turut mengadakan pertemuan dengan tiga individu bergelar Datuk di sebuah hotel di Kota Bharu baru-baru ini.

Bagaimanapun, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan menafikan perkara tersebut dan menyifatkan khabar angin itu kononnya mahu melaga-lagakan pengurusan dengan para pemain.

“Dakwaan ini tidak masuk akal. Sebenarnya Datuk itu sudah datang berbincang dengan saya untuk mengadakan pertemuan bersama pemain bagi bertanyakan masalah menjelang pertemuan dengan Melaka United nanti,” katanya.

Kelantan yang berada di kedudukan ke-11 liga dengan 19 mata wajib menang ke atas Melaka United sambil mengharapkan Sarawak (20 mata) yang menanti kunjungan T-Team di Kuching tewas dalam perlawanan itu.