Tiket ibarat pisang goreng panas


RAZLAN mendedahkan, tiket MotoGP sempena GP Malaysia hanya berbaki 7,500 keping sahaja lagi selepas semua yang lain habis terjual sejak awal tahun lalu.


KEHANGATAN perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) sempena Grand Prix (GP) Malaysia kembali ‘merasuk’ peminat sukan dua roda apabila tiket perlumbaan bagi pusingan ke-17 itu kini ibarat pisang goreng panas.

Apa tidaknya, kehadiran penonton ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada perlumbaan MotoGP yang bermula pada 27 hingga 29 Oktober ini dijangka melebihi 100,000 orang untuk hari Ahad sahaja.

Lebih menarik, perebutan gelaran dunia yang melibatkan pelumba Repsol Honda, Marc Marquez dan pelumba Ducati, Andrea Dovizioso selain kehadiran semula legenda MotoGP, Valentino Rossi bakal menjanjikan aksi bertaraf dunia dipamerkan, sekali gus menghangatkan sambutan GP Malaysia.

Disebabkan faktor tersebut, tiket sempena perlumbaan GP Malaysia kini hanya berbaki 7,500 keping lagi memandangkan kesemua yang lain sudah habis dijual pada awal tahun lalu.

Tiket-tiket yang habis terjual adalah bagi kelas Premier Roving Pass dan K1 Grandstand, F Grandstand, Marc Marquez Tribune, VR46 Tribune, F dan Drive M7 SIC Racing Team Tribune.

Sementara itu, tiket untuk C2 Hillstand (RM44.25 - berbumbung), Shell B Hillstand (RM60 - tidak berbumbung) dan pakej Ducati Grandstand (RM495) masih boleh dibeli tetapi turut mendapat sambutan luar biasa.

Bagi peminat yang sanggup berbelanja mewah, mereka boleh membuat pilihan untuk mendapatkan pas MotoGP VIP Village pada harga RM5,246 untuk tiga hari dan ia masih dijual.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata, sambutan pada tahun ini lebih luar biasa memandangkan perlumbaan GP Malaysia ibarat seperti perhimpunan tahunan di Asia Tenggara.

“Setiap tahun kita mendapat sambutan yang hangat daripada peminat-peminat negara untuk melihat sendiri dan merasai pengalaman berharga ini. Jadi, mereka boleh dapatkan baki tiket yang ada tersebut.

“Kita mempunyai tiga pelumba negara yang akan beraksi pada perlumbaan itu dan saya ya­kin rakyat Malaysia akan memenuhi setiap sudut di Sepang untuk melihat mereka beraksi,” katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.

Sejumlah 161,000 peminat MotoGP telah membanjiri SIC sepanjang tiga hari menyaksikan perlumbaan GP Malaysia 2016 dan jumlah tersebut me­rupakan bilangan penonton paling ramai sejak SIC menganjurkan perlumbaan motosikal berkenaan pada 1999.

Dalam pada itu, Razlan turut menegaskan, harga tiket pada musim 2018 akan dinaikkan 10 peratus untuk menampung segala kos perbelanjaan pe­nganjuran yang meningkat sepanjang tahun.

Sebagai rekod, SIC telah menandata­ngani kontrak dengan pemegang hak MotoGP, Dorna Sports untuk menganjurkan perlumbaan motosikal itu sehingga 2021.