Malaysia kenduri gol ratah China


FAIZAL (tiga dari kiri) meraikan jaringan bersama rakan-rakan sepasukan ketika Malaysia berkenduri gol menewaskan China 7-1 di Dhaka, Bangladesh semalam.


SKUAD hoki lelaki negara menepati ramalan apabila membuka kempen Piala Asia dengan langkah kanan apabila berpesta gol membelasah China 7-1 pada aksi pertama saingan Kumpulan B di Stadium Hoki Maulana Bhashani di Dhaka, Bangladesh semalam.

Penyerang Malaysian Tigers, Faizal Saari muncul wira pasukan apabila berjaya meledak hatrik pada perlawanan tersebut, dua menerusi jaringan padang pada minit ke-17 dan ke-41 serta satu menerusi pukulan sudut penalti (m-31).

Ketua jurulatih skuad negara, Stephen Van Huizen gembira de­ngan prestasi dan corak persembahan dipamerkan anak-anak buahnya dalam perlawanan tersebut.

“Kami mahu bermula dengan baik pada kejohanan ini. Oleh sebab itu, kemenangan pertama amat penting. Saya harap kami dapat meneruskan momentum kemenangan ini pada perlawanan seterusnya,” katanya.

Turut cemerlang dalam perlawanan itu ialah Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd. Jalil apabila berjaya menjaringkan dua gol padang pada minit ke-12 dan ke-19.

Baki dua lagi gol Malaysian Tigers diperoleh menerusi Muhammad Shahril Saabah dan Muhamad­ Ramadan Rosli, ­masing-masing menerusi jaringan padang pada minit ke-35 serta ke-59.

Skuad negara yang menghuni ranking ke-12 dunia sepatutnya menang dengan keputusan 8-1 hasil pukulan sudut penalti Faizal pada minit ke-16, namun dibatalkan oleh pengadil perlawanan.

Jaringan sagu hati China, No. 18 dunia diperoleh menerusi gol padang oleh E Wenhui pada minit ke-56.

Kemenangan itu secara tidak langsung menyuntik semangat barisan pemain menghadapi aksi seterusnya esok bertemu Korea Selatan yang terdesak menjuarai kejohanan tersebut untuk layak ke Piala Dunia 2018 atas tiket juara benua Asia.

Sebagai rekod, Malaysian Tigers tidak pernah menjuarai kejuaraan Piala Asia sejak ia dipertandingkan di Karachi, Pakistan pada 1982 dengan pencapaian terbaik adalah tempat ketiga sewaktu ­edisi 2007 di Chennai, India.