Samsung Galaxy Note Edisi Peminat kini di Malaysia

13/10/2017 12:31pm


Terdapat dalam dua warna iaitu Coral Blue dan Black Onyx.


KUALA LUMPUR – Syarikat pengeluar barangan elektronik terkemuka, Samsung Malaysia Electronics (SME) memperkenalkan Samsung Galaxy Note Edisi Peminat yang dikeluarkan khas untuk pengguna setia Samsung Galaxy Note.

Menurut Ketua Perniagaan Mudah Alih dan Teknologi Maklumat SME, KM Liew, pengenalan model telefon pintar tersebut adalah bagi menghargai sokongan dan komitmen pengguna setia terhadap peranti Galaxy Note sejak ia mula diperkenalkan di negara ini.

“Kami berkerjasama rapat dengan pakar-pakar teknologi bagi mengitar dan mengguna semula komponen Galaxy Note7 untuk menghasilkan peranti ini.

“Ini juga merupakan cara kami untuk mengurangkan jejak karbon untuk generasi akan datang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dihasilkan menggunakan komponen sama terdapat pada Samsung Galaxy Note7, peranti edisi khas itu menawarkan ciri-ciri serta fungsi inovatif serupa seperti Samsung Galaxy Note7 termasuk S Pen yang ditambah baik serta sistem pengecaman iris dan cap jari.

Selain itu, ciri-ciri tambahan yang terdapat pada peranti tersebut adalah ia dilengkapi dengan ‘Bixby Home’ dan ‘Bixby Reminder’ untuk memudahkan pengguna dalam aktiviti seharian serta diiktiraf dengan IP68 iaitu tahan habuk dan air pada kedalaman lima kaki dalam tempoh hingga 30 minit.

Sementara itu, berbeza dengan Samsung Galaxy Note7, peranti edisi khas ini dilengkapi dengan cip pemprosesan yang dinaik taraf serta bateri berkapasiti 3,200mAh yang baharu dan selamat menepati lapan tingkat pemeriksaan keselamatan Samsung serta standard keselamatan industri dan badan pengawalseliaan.

Didatangkan dalam dua warna iaitu Coral Blue dan Black Onyx, peranti tersebut akan berada di pasaran bermula 25 Oktober 2017 di semua Kedai Samsung, pengedar yang sah dan rakan kongsi Samsung terpilih pada harga RM2,599. – K! ONLINE