Gadis 'kuih bulan' luas empayar perniagaan, buka kilang

13/10/2017 4:24pm


Yaya (kiri) memeriksa kuih bulan yang dihasilkan di kilang barunya.


KEMAMAN - Hanya lapan bulan selepas perniagaan kuih bakulnya menjadi tular di laman sosial, gadis kurang upaya (OKU) ini kini terus melebarkan empayar syarikatnya dengan memulakan operasi di kilang baharu pada bulan lalu.

Haziqah Nurul Huda Harun, 20, atau lebih mesra dengan panggilan Yaya, berkata, beliau melabur sebanyak RM150,000 dengan menggunakan wang simpanan hasil perniagaan selama ini untuk kos operasi kilang yang terletak di Bukit Kuang, Kemaman itu.

"Alhamdulillah, apabila beroperasi daripada kilang, pengeluaran kuih bakul dan kuih bulan Yaya lebih tersusun dan berjaya menghasilkan kuantiti lebih banyak berbanding ketika Yaya masih beroperasi di rumah dahulu.

"Fokus ketika ini ialah Yaya mahu mendapatkan sijil pengesahan Makanan Selamat Tanggungjawab Industi (MeSTI) daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Walaupun kuih bakul dan kuih bulan keluaran syarikat Yaya ini memang menggunakan bahan halal, Yaya tetap mahu mendapatkan sijil pengesahan Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk lebih mudah menembusi pasaran halal dunia," kata gadis lumpuh yang bergerak menggunakan kerusi roda ini kepada Bernama hari ini.

Ketika ini, Yaya memfokuskan pengeluaran kuih bulan berikutan permintaan memberangsangkan dari dalam dan luar negara apabila purata pengeluarannya antara 40,000 hingga 60,000 kuih sebulan. - Bernama