Seorang lelaki maut dalam kemalangan libat tiga kenderaan

13/10/2017 4:30pm


Anngota bomba mengeluarkan mayat mangsa yang terperangkap di dalam kereta.


SEREMBAN - Seorang lelaki maut apabila kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan dua kenderaan lain, di Kilometer 269.7 Lebuh Raya Utara-Selatan arah Utara berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Seremban, kira-kira pukul 12.40 tengah malam tadi.

Pegawai Bomba Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Md. Munawir Md. Yusof berkata, mangsa dikenali sebagai Aliff Ashraf Rosli, 24, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan badan.

"Setelah tiba di lokasi kemalangan, kami mendapati mangsa terperangkap di dalam kereta jenis Proton Saga dan tidak sedarkan diri. Pegawai perubatan yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

“Pemandu treler dan pemandu MyVi yang turut terlibat dalam kemalangan itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini. - Bernama