Teater Bahara Emas diawalkan sehari

13/10/2017 4:37pm


Teater Bahara Emas akan dipentaskan sehari lebih awal berikutan sambutan hangat penonton.


KUALA LUMPUR - Pementasan Teater Bahara Emas akan bermula sehari lebih awal daripada tarikh asal yang sepatutnya pada 19 Oktober ini berikutan sambutan hangat penonton.

Setakat ini, tiket-tiket yang tersedia bagi pementasan pada 19 hingga 22 Oktober sudah habis diedarkan kepada orang ramai.

Oleh sebab itu, pementasan diawalkan sehari iaitu pada 18 Oktober untuk memberi peluang kepada mereka yang ingin menyaksikan teater itu tetapi tidak mempunyai tiket.

Dalam pada itu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan mencemar duli menonton Teater Bahara Emas pada 21 Oktober.

Teater arahan Rosminah Mohd. Tahir itu dipentaskan sempena dengan sambutan 50 tahun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

Teater yang mengisahkan era pemerintahan Sultan Melaka ke-8, Sultan Mahmud Shah itu dibintangi pelakon seperti Farahdhiya, Esma Daniel, Izzue Islam, Amar Asyraf dan Datuk Jalaluddin Hassan bersama 50 pelakon lain. - K! ONLINE