Kesesakan kenderaan di Kompleks CIQ Padang Besar bersifat sementara

13/10/2017 4:46pm


Situasi kesesakan kenderaan di laluan ke Thailand, Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Padang Besar, Perlis.


PADANG BESAR - Kesesakan kenderaan di laluan keluar ke Thailand, Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Padang Besar di sini masih terkawal walaupun proses naik taraf sedang giat dijalankan.

Pemangku Ketua Imigresen Padang Besar, Rosli Issak berkata, kesesakan itu bersifat sementara selain untuk keselesaan rakyat kedua-dua negara dalam jangka masa panjang.

"Kesesakan kenderaan biasanya berlaku pada hujung minggu, cuti umum dan persekolahan terutama pada bulan November dan Disember ini.

"Selain itu, pada waktu awal pagi dan petang setiap hari namun, pegawai imigresen akan memastikan semua urusan dokumentasi diselesaikan secepat mungkin," katanya di Kompleks CIQ Padang Besar di sini hari ini.

Projek naik taraf itu dijangka siap sepenuhnya pada Jun 2019. - K! ONLINE