Penduduk Taman Semenyih Indah khuatir banjir mengundang wabak penyakit berjangkit

13/10/2017 6:36pm


Nagendran menunjukkan loji rawatan kumbahan yang ditenggelami banjir.


KAJANG - Penduduk di Taman Semenyih Indah, Semenyih dekat sini khuatir banjir yang sering berlaku di kawasan perumahan tersebut akan menyebabkan berlakunya wabak penyakit berjangkit.

Menurut salah seorang penduduk, S. Nagendren, 49, berkata, kegusaran itu timbul selepas hujan lebat pada petang semalam menenggelamkan loji rawatan kumbahan yang terletak tidak sampai 100 meter dari rumahnya.

"Rumah saya dinaiki air kira-kira 30 sentimeter semalam dan ia berbau najis serta menyebabkan gatal-gatal selain menyebabkan beberapa perabot miliknya rosak.

"Kejadian ini merupakan kali kedua tahun ini dan sebelum ini pernah naik sehingga paras pinggang," katanya ketika ditemui di sini sebentar tadi.

Nagendren yang akan menyambut perayaan Deepavali tidak sampai seminggu lagi menggesa pihak berwajib menyelesaikan perkara ini secepat mungkin kerana tiada tindakan dilakukan selepas beberapa aduan dibuat.

Tinjauan Kosmo! mendapati sekurang-kurangnya empat buah rumah ditenggelami air dan dua buah bot dari Jabatan Pertahanan Awam  dan penduduk melakukan pemeriksaan di sepanjang parit kawasan tersebut.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Noriah Abdul Raj, 48, berkata, dia sering risau setiap kali hujan turun kerana bimbang paras air akan naik.

Katanya, dianggarkan kerugian yang dialami beberapa penduduk di sekitar kawasan ini sekitar RM20,000 hingga RM50,000 sebuah rumah sepanjang beberapa kali kejadian banjir berlaku di kawasan itu sebelum ini. - K! ONLINE