Pekerja premis serbaneka cedera diserang penyamun

13/10/2017 9:56pm


Pekerja kedai 24 jam mengalami kecederaan dalam kejadian samun di kedai itu di Bandar Meru Raya di sini semalam yang telah tular di laman sosial.


IPOH - Seorang pekerja kedai 24 jam mengalami kecederaan di kepala, tangan kiri dan luka di bahagian badan dalam kejadian samun di kedai itu di Bandar Meru Raya di sini semalam yang telah tular di laman sosial.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, lelaki berumur 53 tahun itu dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini dan keadaannya kini stabil namun masih lemah.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira 4.15 pagi, dua suspek yang memakai topi keledar memasuki kedai itu dengan seorang daripada mereka bertindak menyerang mangsa menggunakan objek panjang seperti batang besi.

"Mangsa terus rebah, manakala seorang lagi suspek telah mengambil wang dari mesin wang dan rokok," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ketika kejadian isteri mangsa yang berada dalam sebuah bilik di dalam kedai itu mendengar bunyi bising dan terus keluar sebelum seorang suspek merampas telefon bimbit milik mangsa.

Menurut Sum, pihak polis telah mengambil tujuh cap jari selain meneliti rakaman televisyen litar tertutup yang berada di dalam dan luar kedai itu untuk mengesan suspek. - Bernama