Wonderful Indonesia tarik ramai pelancong

Kepulauan Raja Ampat di Papua Barat, Indonesia kaya dengan keindahan alam semula jadi.


JIKA berbicara tentang usaha menarik ramai pelancong asing mengunjungi sesebuah negara, Indonesia tidak pernah sesekali duduk diam sambil menunggu ia berlaku dengan sendiri.

Negara republik berkenaan sentiasa komited memperkenalkan produk pelancongan mereka dengan mengangkat jenama Wonderful Indonesia ke seluruh dunia seperti Asia, Australia dan Eropah.

Di Asia, pihak promosi Wonderful Indonesia memfokuskan untuk menampilkan keunikan negara mereka di tiga bandar utama di China melibatkan Hefei, Wuxi dan Hangzhou bermula 29 Ogos hingga 1 September lalu.

Timbalan Penolong Pengarah Pembangunan Pasaran Pelancongan di Asia Pasifik, Kementerian Pelancongan Indonesia (KPI), Vinsensius Jemadu berkata, selain daripada tiga bandar utama tersebut, pihaknya turut memperluaskan jaringan promosi di beberapa bandar lain di China.

Antaranya, Shanghai, Guangzhou, Beijing dan Shenzhen.

“China disifatkan sebagai pasaran utama bagi memasarkan produk pelancongan Indonesia berikutan negara tersebut begitu sinonim dengan kepesatan pertumbuhan ekonomi dan bilangan rakyat yang begitu ramai,” katanya kepada pemberita di Jakarta baru-baru ini.

Vinsensius memberitahu, jumlah pelancong China yang mengunjungi Indonesia setakat Jun lalu seramai sejuta orang dan angka berkenaan menunjukkan peningkatan sebanyak 50 peratus berbanding Januari lalu.

Selain itu, beberapa syarikat penerbangan Indonesia telah membuka laluan baharu ke bandar-bandar utama di China, seterusnya menjadikan promosi pelancongan di negara itu suatu keperluan.

“Pihak promosi Wonderful Indonesia turut melaksanakan kempen pelancongan sempena Pameran Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (Pata) di Macau pada 13 hingga 15 September lalu,” ujarnya.

Promosi


Bas pelancongan di London dihiasi dengan gambar Candi Borobudur.


Penganjuran Pata yang dikelolakan oleh Pejabat Pelancongan Macau merupakan pameran dagangan dan pelancongan di rantau Asia Pasifik, bertujuan menarik minat kedatangan pelancong asing ke bandar berkenaan.

Vinsensius menambah, penglibatan Indonesia dalam pameran Pata turut memberi fokus untuk mempromosikan tempat-tempat pelancongan menarik yang terdapat di negara republik tersebut khususnya kepada penduduk China.

“Bagi tujuan ini, kami telah menyewa tapak pameran Pata seluas 108 meter persegi dan menempatkan sudut informasi Wonderful Indonesia selain rumah budaya yang menghimpunkan pelbagai jenis kesenian dengan sentuhan moden.

“Selain itu, seramai 12 pemain industri pelancongan termasuk syarikat penerbangan Garuda Indonesia turut dijemput menyertai pameran Pata dalam usaha memasarkan pakej pelancongan yang ditawarkan,” jelasnya.

Ujar beliau lagi, pameran Pata merupakan sebuah acara yang berprestij selain turut diiktiraf oleh agensi industri pelancongan di seluruh dunia.

Selain Asia, tarikan pelancong di Indonesia juga dipromosikan menggunakan bas pelancongan di Paris, Perancis selama sebulan bermula 12 September hingga 9 Oktober lalu.

Sebanyak 16 buah bas pelancongan dihiasi dengan gambar-gambar lokasi menarik di Indonesia seperti Candi Borobudur, penari di Bali, biawak komodo, Tasik Danau Toba dan Kepulauan Raja Ampat.

Ketua Pegawai Visit Indonesia (Vito) di Perancis, Eka Moncarre berkata, promosi menggunakan bas yang dijalankan pada bulan lalu disifatkan sebagai langkah tepat.

“Kami turut menghiasi setiap jalan di Paris dengan meletakkan papan iklan Visit Indonesia sebagai usaha menarik lebih ramai kedatangan rakyat Eropah ke Jakarta.

“Lebih menarik, selepas tempoh dua tahun pembukaan pejabat Vito di Perancis, jumlah kedatangan pelancong negara berkenaan ke Indonesia terus meningkat,” jelasnya.

Media sosial


Pelancong asing tidak melepaskan peluang merakam gambar di Candi Borobudur di Magelang, Jawa Tengah.


Sementara itu, Persatuan Pelajar Indonesia-Australia (PPIA-WA) turut bertindak proaktif dengan mempromosikan keindahan bumi Indonesia di Perth, Australia.

Menurut Timbalan Pengarah Kementerian Pelancongan dan Pemasaran Luar Negara I, Gde Pitana, promosi yang dijalankan oleh PPIA-WA telah disambut baik oleh penduduk setempat di negara berkenaan.

“Contohnya, acara kebudayaan yang berlangsung di Rocks 26 Cecil Avenue Cannington, Perth dihadiri lebih 1,000 orang terdiri daripada pelajar dan masyarakat Australia Barat.

“Program seumpama ini merupakan peluang keemasan buat pelajar Indonesia di Australia Barat untuk mempamerkan keindahan pelancongan, budaya, seni, muzik dan hidangan masakan yang kita miliki,” ujarnya.

Selain itu, gambar iklan Wonderful Indonesia turut menghiasi bas di Washington, Amerika Syarikat sepanjang bulan ini.

Dalam pada itu, satu komuniti yang dikenali sebagai Perjalanan Saya Pengembara Saya (MTMA) juga mempromosikan Wonderful Indonesia dengan menjadikan golongan muda sebagai fokus utama.

Timbalan Pengarah Pembangunan Pelancongan KPI, Esthy Reko Astuti berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan usaha yang dijalankan oleh MTMA dalam mempromosikan keunikan Indonesia.

“Selain itu, sikap generasi muda yang sentiasa menggunakan media sosial seperti Facebook dan Instagram selain blog sebagai platform utama komunikasi dilihat memberi kelebihan dalam mempromosikan keindahan Indonesia ke peringkat antarabangsa.

“Perkongsian maklumat di laman media sosial bukan sahaja membolehkan generasi muda di Jakarta mendapat maklumat malahan turut diterima oleh masyarakat di seluruh dunia,” ujarnya.