Pakej perkahwinan istimewa Intekma Resort & Convention Centre


RUANG pentas yang luas memberikan keselesaan kepada pasangan pengantin untuk bersanding.


Menganjurkan kenduri merupakan satu daripada cabaran yang perlu dihadapi oleh pasangan pengantin yang baru mendirikan rumah tangga.

Antara aspek yang perlu diambil kira sebelum sesebuah majlis kenduri berlangsung adalah lokasi ia akan dianjurkan serta menu untuk dihidangkan kepada tetamu jemputan.

Intekma Resort & Convention Centre yang terletak di Persiaran Raja Muda, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor menawarkan pakej menarik bagi majlis seperti persandingan, pernikahan, majlis berinai dan pertunangan.

Pengurus Besarnya, Melvin Benedict Jipiu berkata, terdapat beberapa venue yang ditawarkan kepada pelanggan iaitu sebuah dewan baharu, Ruangsari yang boleh menempatkan sehingga 1,000 orang dalam satu masa.

Beliau memberitahu, Ruangsari yang terletak di atas bukit membolehkan orang ramai untuk menikmati pemandangan bandar Shah Alam.

Selain itu, katanya, Dewan Sri Bestari pula boleh memuatkan sehingga 350 orang, manakala kawasan kolam renang sehingga 200 orang.

“Kami menawarkan dua pilihan pakej kepada pelanggan iaitu Buffet dan Set Dome (Hidang) dengan harga pakej bermula daripada RM 45 seorang.

“Kita juga menawarkan harga istimewa bagi 2017 iaitu RM29 seorang untuk 1,000 orang tetamu dan ia tertakluk pada terma dan syarat,” katanya kepada Aura Juita baru-baru ini.

Melvin berkata, turut ditawarkan adalah pakej seperti kelengkapan dewan seperti kerusi dan meja banquet beralas, sewaan dewan, karpet merah dan sistem audio asas.

Katanya, ditawarkan juga adalah pakej mengandungi pilihan menu menarik, hidangan makan beradab raja sehari, set hiasan pelamin dan dewan asas serta kek perkahwinan dan bunga manggar.

“Pelanggan juga boleh memilih untuk mengambil pakej penginapan yang mengandungi bilik penginapan eksklusif raja sehari dan bilik persalinan keluarga,” katanya.

Beliau memberitahu, Intekma Resort & Convention Centre mempunyai kemudahan-kemudahan asas seperti tempat letak kenderaan percuma, perkhidmatan buggy, surau, tandas dan bilik VIP.