Menu baharu Eastern Crabs

Ketam masak cili ini merupakan menu kegemaran pelanggan.


Setiap kali mahu menikmati sajian hidupan laut seperti ketam, kita pasti akan memandang ke langit dulu bagi memastikan sama ada bulan mengambang atau tidak.

Ini kerana orang dulu-dulu pernah berpesan, waktu itu isi ketam akan menjadi lebih padat dan enak.

Ketika itulah orang ramai akan berduyun-duyun ke pasar untuk mendapatkan ketam dan memasak di rumah dengan pelbagai jenis menu yang boleh direncanakan.

Bagaimanapun, kini anda tidak perlu lagi bersusah payah meneliti kitaran bulan semata-mata untuk menikmati sajian ketam yang menyelerakan.

Singgah sahaja ke Eastern Crabs Restaurant yang terletak di Jalan Ampang, Kuala Lumpur untuk menikmati lebih 180 hidangan makanan laut khususnya ketam dengan variasi masakan yang berbeza-beza menepati selera masyarakat Asia.

Menariknya, kedai makan itu mempertaruhkan ketam nipah yang diimport khas dari Sri Lanka sebagai hero utama dalam menu harian yang disediakan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Eastern Crabs Restaurant, Muhammad Ali, ketam nipah Sri Lanka dipilih kerana ia bersaiz lebih besar selain mengandungi isi yang padat berbanding ketam nipah tempatan.

“Ketam nipah Sri Lanka dipilih bagi memastikan setiap pengunjung yang datang ke sini puas menikmati hidangan ketam.

“Pernah juga kami gunakan ketam-ketam lain yang terdapat di pasaran, namun ia tidak sebaik ketam nipah Sri Lanka dari segi kualiti.

“Sepanjang lapan tahun restoran ini dibuka, kami hanya menggunakan ketam nipah dari Sri Lanka. Sehingga kini, ia memberikan kepuasan kepada setiap pelanggan yang datang,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di restoran itu baru-baru ini.


MUHAMMAD ALI (kanan) dan cef Muhammad Qaiyum Mohtaruddin menunjukkan menu signatur Eastern Crabs Restaurant di Jalan Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Antara menu signatur di Eastern Crabs Restaurant ialah ketam typhoon, ketam masak cili, ketam kam heong, ketam mentega dan nasi goreng ketam.

Selain ketam, restoran itu turut menyediakan hidangan makanan laut yang lain seperti udang, sotong, tiram dan ikan yang setiap satunya boleh dimasak mengikut cita rasa pelanggan.

Bagi individu yang kurang berminat dengan makanan laut dan mahu menikmati hidangan lain seperti Barat ataupun Thai, Eastern Crabs Restaurant turut menyediakannya.

Antaranya, chicken chop dan kambing sizzling, kepak ayam dengan garam dan lada serta brokoli bersama isi ketam.

Bagi menghargai pelanggan yang selama ini menyokong restoran itu, Eastern Crabs Restaurant kini menampilkan menu masakan baharu iaitu ikan siakap goreng dengan sos asam.

Istimewanya menu itu, ia merupakan resipi Muhammad Ali sendiri yang diolah menggabungkan elemen masam dan pedas sebagai memenuhi selera gastronomi masyarakat tempatan.

Bahkan, sekiranya pelanggan mahu mencuba resipi itu dengan ikan selain ikan siakap, Eastern Crabs Restaurant turut sedia memasaknya.

Sempena pelancaran menu masakan baharu itu, Eastern Crabs Restaurant menawarkan promosi harga runtuh sempena bulan Oktober ini.

Bermula hari ini, semua hidangan berharga RM68 akan dikurangkan kepada RM48 tertakluk kepada hidangan ketam manakala ikan siakap goreng dengan sos asam itu pula boleh dinikmati pada harga RM40 sahaja.

Bagi memudahkan pengunjung yang hadir, ruang parkir turut diberikan secara percuma bermula dari 6 petang hingga 11 malam.

Tambah Muhammad Ali, lebih 100 pengunjung boleh ditempatkan di Eastern Crab Restaurant dalam satu-satu masa termasuk di bahagian dalam dan luar restoran.