MAS Junior ubah suai stor jadi gimnasium mini


BEBERAPA pelajar sekolah SMK Bandar Mas, Kota Tinggi, Johor menggunakan peralatan senaman di gimnasium mini sekolah itu yang asalnya merupakan bangunan penjanaan elektrik.


MEMILIKI tubuh badan sihat dan menarik menjadi kegilaan ramai anak muda masa kini. Justeru, rata-rata memilih untuk melakukan senaman di gimnasium bagi mendapatkan kesan maksimum. Hari ini, bukan mereka yang bekerja saja mengidamkan tubuh badan ideal, bahkan pelajar-pelajar sekolah juga berlumba-lumba mahu tampil dan memiliki bentuk badan persis ahli sukan.

Menyedari kelengkapan dan kos yang agak tinggi untuk beriadah di gimnasium, 20 pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Mas, Kota Tinggi, Johor mengambil inisiatif dengan mengubah suai bangunan stor kepada gimnasium mini untuk kegunaan para pelajar dan guru.

Guru pembimbing, Mohd. Asyik Shamsuddin berkata, bangunan itu pada asalnya merupakan bangunan penjanaan elektrik sekolah berkenaan sebelum akhirnya menjadi stor.

“Beberapa pelajar dan saya bersama guru-guru lain terpanggil untuk mengadakan sedikit pergubahsuaian bangunan ini menjadi gimnasium mini yang dilihat mampu mendorong pelajar-pelajar meluangkan sedikit masa dengan bersenam selepas waktu persekolahan,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Katanya, memandangkan struktur itu masih elok, beliau berbincang dengan sekumpulan pelajar diberi nama MAS Junior untuk membaik pulih bangunan mengubah stor yang uzur menjadi gimnasium.

“Projek ini kemudiannya mendapat sokongan padu pihak sekolah dan pelajar terlibat yang akhirnya membawa kepada pengubahsuaian awal bulan ini,” ujarnya.

Menurut Mohd. Asyik, pihak sekolah bercadang mahu mendapatkan penajaan daripada beberapa pihak terutama dalam mendapatkan peralatan senaman selain kemudahan-kemudahan lain yang boleh digunakan warga sekolah.

“Usaha seumpamanya cukup penting bagi memastikan projek ini tidak sia-sia dan mampu menggalakkan lebih ramai warga sekolah untuk bersama-sama meluangkan masa beriadah di gimnasium mini setiap hari,” ujarnya.

Peralatan

Buat masa ini gimnasium mini itu sudah dilengkapi dengan beberapa peralatan senaman. Antaranya termasuklah sebuah mesin treadmill, tiga buah mesin kayuhan, 12 dumbbell, tiga tali skipping dan lain-lain.

Kesemuanya dibeli daripada wang sumbangan yang diperoleh daripada agensi kerajaan dan di kedai-kedai.

Sementara itu, seorang pelajar, Aiman Danish Helmi Nor, 16, mengakui, projek tersebut membawa banyak manfaat terutama bagi meningkatkan kecergasan dan kecerdasan selain mengelakkan pelajar-pelajar membuang masa dengan aktiviti tidak berfaedah.

“Pada masa sama, saya juga dapat mempelajari bidang pertukangan yang dapat memberi nilai tambah kepada aspek bidang kemahiran,” ujarnya.