Program Kids Eko Dash akan diperluaskan bagi promosi taman eko rimba

15/10/2017 3:21pm


Kanak-kanak yang menyertai Program Kids Eko Dash hari ini.


SHAH ALAM - Program larian kanak-kanak, Kids Eco Dash 2017 yang berlangsung di Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA) hari ini akan diperluaskan ke seluruh negara sebagai satu daripada usaha kerajaan mempromosikan taman eko rimba.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Rashidi Hasbullah berkata, ia berikutan sambutan yang menggalakkan terhadap program larian berteraskan eko pelancongan itu.

"Kerajaan sedang berusaha mempromosikan taman eko rimba termasuk taman negara di Pahang, Johor dan Sabah, selari dengan usaha untuk meningkatkan lagi kehadiran pelancong tempatan dan asing.

"Kawasan-kawasan eko rimba ini merupakan aset penting dalam mempromosikan sektor eko pelancongan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata, terdapat 22 taman eko rimba di seluruh negara yang menarik dan perlu dilawati antaranya Taman Botani Perdana Kuala Lumpur dan Taman Botani Putrajaya. - Bernama