Keharmonian vokal jadi taruhan Nama



IRAMA muzik bergema di ruang Studio Sarang Suara di Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan, Selangor pada malam itu.

Dari jauh kelihatan empat wanita muda asyik dengan aksi masing-masing sambil mengalunkan beberapa lagu popular pada masa ini.

Dikenali sebagai Nama, ahli-ahli kumpulan ini terdiri daripada pelajar dan bekas pelajar Universiti Malaya (UM) yang bernaung di bawah Rfq Entertainment sejak setahun lalu.

“Inilah rutin kami hampir setiap minggu. Biarpun terikat dengan komitmen terhadap pelajaran dan kerjaya, kami perlu menjalani latihan di studio.

“Hanya dengan cara itu kami mampu mengekalkan keserasian dalam kumpulan di samping keharmonian vokal,” kata salah seorang anggota paling senior dalam kumpulan itu, Fazrina Mohd. Ani, 26, ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Selain Fazrina, kumpulan itu turut dianggotai oleh Syamimi Makhtar, 22, Fazira Malik, 22, dan Nur Farahida Dolhadi, 22.

Menurut Fazrina, mereka mendapat tunjuk ajar daripada pengurus kumpulan itu, Rafiq Taib, 33, yang pernah terlibat dalam program hiburan tempatan seperti Gangstarz serta teater P. Ramlee The Musical.

Katanya, selain menyanyi, tiga anggota kumpulan tersebut iaitu Syamimi, Fazira dan Nur Farahida berkemampuan bermain alat-alat muzik seperti gitar serta piano.

“Ketiga-tiga mereka sememangnya aktif dalam bidang seni kerana merupakan pelajar dan graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan di UM.

“Saya pula menyanyi sebagai hobi dan sering menyertai pelbagai pertandingan nasyid sejak zaman sekolah lagi.

“Kini, biarpun sudah bekerja, saya masih menjadi pembantu jurulatih kumpulan nasyid CG Malaya di UM,” ujar graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Alam Sekitar itu.

Sementara itu, Rafiq berkata, dia mengenali keempat-empat anggota kumpulan tersebut ketika menjadi jurulatih kumpulan nasyid CG Malaya kira-kira tiga tahun lalu.

Katanya, dia mengenali Fazrina terlebih dahulu sebelum Syamimi dan Fazira yang pernah menjadi penyanyi kumpulan nasyid berkenaan.

“Selepas itu, saya berkenalan pula dengan Nur Farahida yang berpengalaman menyertai kumpulan nasyid dan pasukan orkestra di UM.

“Berdasarkan pemerhatian, saya dapati keempat-empat mereka mempunyai kualiti vokal yang sangat unik dan menakjubkan, sekali gus membawa kepada penubuhan Nama, Oktober tahun lalu,” katanya.


BAKAT anggota kumpulan Nama dicungkil menerusi pertandingan nasyid yang berlangsung semasa Festival Seni di UM.


Menggegarkan

Tambah Rafiq, dia berhasrat untuk menggilap bakat Nama menjadi antara kumpulan penyanyi wanita yang mampu menggegarkan industri muzik tempatan.

“Penyanyi solo wanita dah ramai dalam industri, namun tidak bagi yang berkumpulan, apatah lagi yang fokus kepada vokal berharmoni.

“Selain itu, anggota kumpulan ini bukan sahaja boleh menyanyi, bermain alat muzik tetapi mencipta dan menghasilkan lirik serta lagu.

“Sebab itu, saya yakin dengan bakat dan kemahiran yang dimiliki Nama, mereka mampu pergi jauh dalam industri ini,” ujarnya.

Jelasnya, ketika ini pihaknya sedang mengumpul beberapa lagu untuk single Nama yang bakal dilancarkan selewat-lewatnya pada awal tahun hadapan.

Antara dua lagu yang bakal menjadi perhatian ialah Monolog dan Stay yang dihasilkan dalam bahasa Inggeris.

Lagu itu merupakan ciptaan anggota kumpulan tersebut.

Seorang lagi anggota Nama, Syamimi berkata, sebahagian besar latihan yang dijalankan bertujuan untuk mencari keserasian antara setiap ahli kumpulan.

“Sebelum ini masing-masing bergerak sendiri sama ada menerusi platform berkumpulan seperti nasyid atau penyanyi solo.

“Jadi, apabila bergerak sebagai satu kumpulan, penting untuk mewujudkan keserasian dan keseimbangan vokal kerana keupayaan vokal setiap manusia adalah berbeza.


DARI kiri: Nur Farahida, Syamimi, Fazrina dan Fazira yang menganggotai kumpulan Nama merupakan pelajar dan graduan dari Universiti Malaya.


Mencerna idea

“Selain latihan, kami turut terbabit mencerna idea untuk mencipta lirik dan lagu mengikut kesesuaian sebagai sebuah kumpulan vokal berharmoni,” katanya yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan (Muzik) itu berkata, bakatnya dalam bidang muzik dan seni suara mula terserlah ketika menuntut di Sekolah Seni Malaysia (SSM) di Johor Bahru, Johor.

“Apabila memasuki UM, saya mula mendapat latihan intensif untuk pemantapan vokal dan kemahiran bermain alat muzik seperti piano.

“Pada masa sama, saya turut belajar mengenai penciptaan lirik dan lagu. Kemahiran itu kini digunakan untuk membantu menaikkan Nama,” ujarnya yang kini bergelar guru vokal secara separuh masa di beberapa kolej swasta.

Bagi Nur Farahida, minatnya dalam bidang seni bermula sejak berusia lapan tahun dan pernah menyertai pertandingan Bintang Kecil ketika berusia 11 tahun.

Mengakui mewarisi bakat itu daripada ibunya, Nur Farahida yang mesra disapa Fara memberitahu, dia turut mendalami bidang seni ketika menuntut di SSM di Kuching, Sarawak.

Di UM, dia telah ditawarkan jurusan sama dengan Syamimi dan mempelajari banyak aspek teknikal dari segi vokal serta persembahan pentas.

“Selain aktif dengan kumpulan nasyid, saya juga sering menjayakan persembahan solo dalam pelbagai acara seni yang diadakan seperti Festival Seni UM, majlis konvokesyen dan sebagainya,” kata anak sulung daripada dua adik-beradik itu.

Tambah Fara, selain menyanyi lagu Melayu, dia juga berkeupayaan untuk mendendangkan lagu Mandarin dan Inggeris.

“Saya pernah menyanyikan lagu Mandarin, Piao Xiang Bei Fang nyanyian Namewee dan siapa sangka ia ditonton lebih 500,000 pengunjung di laman YouTube.

“Selain itu, saya juga pernah diumumkan sebagai johan nyanyian bahasa Inggeris ketika Festival Seni UM 2015,” ceritanya.

Sementara itu, Fazira pula berkata, selain meminati bidang nyanyian, dia juga menyukai teater dan sering menjayakan pelbagai persembahan di UM.

“Mungkin bakat saya lebih menonjol dalam bidang nyanyian sehingga terpilih untuk menjadi salah seorang anggota kumpulan ini.

“Kini, kami hanya selangkah lagi untuk menceburi industri ini dan saya berharap bakat serta potensi kami mendapat maklum balas positif daripada masyarakat,” katanya.