Perbezaan bahasa, budaya bukan halangan dekati pelarian Chin


Pelajar pelarian Chin mengadakan aktiviti dalam kumpulan.


TIDAK ramai yang menyedari kewujudan sekolah-sekolah khas untuk golongan kanak-kanak dan remaja pelarian di negara ini.

Walaupun mereka tergolong sebagai kumpulan pelajar minoriti, namun perhatian dan bantuan sewajarnya harus diberikan sebagai usaha menyokong golongan tersebut untuk turut berpeluang menikmati pendidikan yang berkualiti.

Menyedari kepentingan untuk membantu golongan tersebut, sekumpulan 27 mahasiswa tahun pertama Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM) telah menggembleng tenaga menganjurkan sebuah program kesukarelawan bagi mendekati 40 orang remaja pelarian Chin dari Myanmar baru-baru ini.

Bertempat di Alliance of Chin Refugees School yang terletak di Pudu, Kuala Lumpur, kumpulan mahasiswa yang terlibat telah menghabiskan masa menjadi sukarelawan dengan membantu menguruskan kelas-kelas selain meluangkan masa melaksanakan aktiviti berkumpulan yang menekankan aspek kreativiti, kepimpinan dan kemahiran komunikasi.

Penasihat program yang juga merupakan pensyarah di Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, UM, Dr. Wan Abd. Al-qadr Imad Wan Mohtar berkata, objektif utama program tersebut dilaksanakan adalah bagi melahirkan mahasiswa yang lebih berketerampilan dalam aktiviti kesukarelawanan, sentiasa bersikap profesional dan mempunyai daya kepimpinan tinggi.

“Menariknya, mahasiswa yang terlibat bukan sahaja berkongsi ilmu dengan remaja pelarian Chin, malah mereka juga mengambil inisiatif memasak juadah makanan tengah hari untuk dinikmati bersama.

“Menerusi penglibatan mahasiswa dalam pelbagai acara yang telah diatur sepanjang program ini berlangsung, ia boleh dijadikan asas untuk mempersiapkan mereka dalam menghadapi cabaran dalam dunia pekerjaan selepas menamatkan pengajian kelak,” katanya.

Jelas beliau lagi, program yang berjalan pada setiap hujung minggu selama tujuh minggu itu telah mendapat reaksi positif daripada kesemua pihak terlibat.

Malah katanya, program itu juga telah mendapat kerjasama daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang turut menunjukkan minat yang tinggi dalam membantu golongan minoriti tersebut.

“Program sebegini seharusnya diperbanyakkan demi memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai realiti sebenar kehidupan seharian remaja pelarian yang terpaksa berhijrah meninggalkan negara sendiri, atas sebab yang pelbagai,” tambahnya.


Seorang pelajar menunjukkan hasil kreativiti yang dihasilkannya kepada tiga sukarelawan.


Risau

Dalam pada itu, seorang mahasiswa, Hajar Amir, 19, berkata, dia begitu teruja diberi peluang untuk menyertai program kesukarelawan tersebut.

“Pada mulanya, kami berasa sedikit risau untuk berinteraksi dengan mereka disebabkan perbezaan bahasa dan budaya.

“Namun, perkara itu tidak menjadi masalah yang besar apabila remaja pelarian Chin tersebut begitu ramah.

“Malah mereka juga sangat mengalu-alukan kedatangan kami setiap minggu ke sekolah tersebut,” katanya.

Bagi seorang lagi pelajar, Zarifah Zailani, 19, pula, dia menganggap penyertaan dalam program tersebut telah memberi peluang kepadanya untuk menabur berbakti kepada golongan minoriti itu selain menyelami kehidupan mereka.

“Pada masa sama, saya juga dapat mengasah bakat dan meningkatkan potensi diri dari aspek kepimpinan dan pengurusan program,” katanya.

Besek Mariam Jahis, 19, pula berharap program seperti itu mampu menarik minat lebih ramai mahasiswa untuk terlibat dalam aktiviti kesukarelawan sama ada dianjurkan di dalam atau di luar kampus.

“Program ini diharapkan dapat membuka mata masyarakat sekeliling bahawa usaha mendekati remaja daripada golongan yang memerlukan seperti pelarian Chin ini tidak hanya terbatas kepada sesetengah bangsa dan agama.

“Diharapkan program ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang dengan kelainan yang boleh memberi impak lebih mendalam kepada bukan sahaja kelompok masyarakat Chin di Malaysia tetapi juga masyarakat lain yang memerlukan,” katanya.