Tentera Iraq ‘tawan’ Kirkuk


REUTERS - ANGGOTA tentera Iraq kelihatan berkawal berdekatan loji industri minyak di Kirkuk, Iraq semalam.


BAGHDAD – Tentera Iraq semalam menyatakan mereka sudah mengambil alih kawalan jalan raya dan beberapa infrastruktur daripada militia Kurdis berdekatan bandar Kirkuk pada ketika ke­tegangan meningkat disebabkan kontroversi referendum kemerdekaan.

Pusat Pemerintahan Operasi Bersama (JOC) Iraq yang dianggotai semua tentera prokerajaan berkata, pihaknya sedang mencapai kejayaan dalam operasi untuk ‘mengembalikan keselamatan’ di Kirkuk.

Tentera Iraq berhasrat merampas kembali pangkalan tentera dan telaga minyak yang ditawan militia Peshmerga Kurdis sewaktu pepe­rangan menentang kumpulan militan Daesh.

Tentera kerajaan pusat telah mengambil alih kawalan dua jambatan, dua batang jalan raya dan zon industri di barat daya bandar Kirkuk. Turut dirampas ialah sebuah fasiliti pengeluaran minyak, sebuah loji janakuasa, pusat penapisan minyak dan balai polis, kata JOC.

Tentera Iraq dan militia Kurdis berbalas tembakan pada awal pagi semalam di kawasan selatan bandar iaitu selepas pihak tentera kerajaan memulakan satu ‘operasi besar-besaran’ di wilayah yang kaya dengan sumber minyak itu.

Serangan itu adalah susulan kebuntuan antara militia Kurdis dan tentera Iraq berikutan referendum pada 25 September lalu yang menuntut kemerdekaan untuk wilayah berautonomi Kurdis di utara Iraq.

Baghdad telah mengisytiharkan pungutan suara itu sebagai haram. Kedua-dua pihak yang berada di ambang peperangan itu adalah sekutu utama Amerika Syarikat bagi menentang kumpulan militan Daesh. – AFP