Catalonia gagal nyatakan pendirian


AFP - Puigdemont menandatangani satu dokumen berkait kemerdekaan Catalonia selepas satu sesi Parlimen wilayah Catalan di Barcelona pada 10 Oktober lalu.


BARCELONA – Pemimpin pemisah Catalonia, Carles Puigdemont semalam enggan menyatakan pendirian mengenai kemerdekaan, sebaliknya meminta diadakan mesyuarat tergempar bersama Perdana Menteri Sepanyol, Mariano Rajoy untuk menyelesaikan krisis politik terburuk negara itu.

Sebagai respons kepada tempoh masa yang ditetapkan oleh kerajaan pusat Madrid berhubung persoalan itu, Puigdemont mendesak diadakan mesyuarat bersama Rajoy dengan ‘secepat mungkin’.

Bagaimanapun, pemimpin wilayah separa autonomi itu tidak memberi jawapan jelas sama ada ‘ya’ atau ‘tidak’ terhadap tuntutan Madrid selepas beliau menyampaikan ucapan kemerdekaan samar-samar pada minggu lalu.

Kerajaan Sepanyol memberi masa kepada Puigdemont hingga pukul 8 pagi, Isnin (semalam), untuk menjelaskan pendiriannya yang mungkin menyebabkan Madrid mengambil alih kawalan secara langsung ke atas wilayah berkenaan.

Sepucuk surat yang ditulis oleh Puigdemont kepada pemimpin Sepanyol menyatakan: “Untuk tempoh dua bulan akan datang, objektif utama kami adalah mengadakan dia­log bersama kamu.”

Bagaimanapun, Menteri Luar Sepanyol, Alfonso Dastis menyatakan Puigdemont gagal memberi jawapan jelas.

“Adalah jelas bahawa Puigdemont belum menjawab dan belum beri penjelasan terhadap apa yang kami mahukan,” kata Dastis kepada wartawan di Luxembourg.

Sebelum ini, Puigdemont memberitahu wakil-wakil rakyat wilayah bahawa beliau bersedia menjadikan Catalonia ‘sebuah negara merdeka’ susulan satu referendum pada 1 Oktober lalu walaupun telah dilarang pihak mahkamah.

Pemimpin itu kemudiannya segera menyatakan beliau menggantung pengisytiharaan kemerderkaan untuk memberikan masa kepada proses rundingan bersama Madrid.

Puigdemont dalam suratnya menyatakan tindakan ‘menggantung mandat politik yang diberi menerusi undian pada 1 Oktober lalu menunjukkan kesungguhan pihak mereka untuk mencari satu penyelesaian dan bukannya konfrontasi’. – AFP