Dron langgar pesawat Kanada


AGENSI - PESAWAT komersial Skyjet yang membawa enam penumpang dan dua kru ini selamat mendarat selepas bahagian sayapnya dilanggar sebuah dron di Quebec, Kanada.


MONTREAL – Sebuah pesawat penumpang Kanada selamat mendarat selepas melanggar sebuah dron dalam kes pertama seumpamanya yang berlaku di negara itu, kata seorang menteri Kabinet kelmarin.

Dengan peningkatan bilangan peranti udara tanpa pemandu di langit, perlanggaran masih jarang berlaku, tetapi pihak berkuasa di seluruh dunia mencari jalan untuk menjaga keselamatan pesawat.

Insiden itu berlaku pada Khamis lalu apabila sebuah dron bertembung dengan pesawat penerbangan domestik Skyjet yang menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Jean-Lesage di Bandar Raya Quebec, kata Menteri Pengangkutan, Marc Garneau dalam satu kenyataan.

“Ini merupakan kali pertama sebuah dron melanggar pesawat ko­mersial di Kanada dan saya sangat lega kerana pesawat itu hanya mengalami kerosakan kecil dan mampu mendarat dengan selamat,” kata Garneau yang merupakan bekas ang­kasawan.

Pesawat yang membawa enam penumpang dan dua kru itu dilanggar pada bahagian sayap kanan, pada ketinggian kira-kira 450 meter dan berada pada kedudukan lebih kurang 3 kilometer dari lapangan terbang, menurut akhbar Le Journal de Quebec.

Garneau mengingatkan pengendali dron bahawa sesiapa yang didapati membahayakan keselamatan pesawat, boleh dikenakan denda sehingga AS$20,051 (RM84,558), penjara atau kedua-duanya. – AFP