Keluarga tempat anak-anak berlindung


MANGSA seks akan mengalami trauma berpanjangan jika tidak dirawat dengan segera. – Gambar hiasan


SEORANG ibu secara fitrah sanggup berkorban apa sahaja dan sentiasa mendoakan kesejahteraan anak-anak mereka.

Namun, berlainan pula dengan kisah seorang ibu berusia 30 tahun di Lawas, Sarawak yang dituduh melacurkan anaknya berusia 14 tahun gara-gara mahu melunaskan hutang.

Pada 9 dan 14 Oktober lalu, Kosmo! melaporkan, dua wanita berdepan hukuman penjara 15 tahun selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Lawas atas pertuduhan melacur remaja berusia 14 tahun pada April lalu.

Salah seorang tertuduh yang merupakan ibu kepada remaja itu didakwa sanggup bersekongkol dengan pemilik pusat karaoke untuk memaksa mangsa melakukan perbuatan terkutuk tersebut.

Mangsa yang tidak bersekolah itu mendakwa, ibunya terlalu banyak berhutang dan memaksa dia melakukan hubungan seks bersama lelaki yang tidak dikenali.

Insiden itu terbongkar apabila remaja tersebut bertindak membuat laporan kepada ketua kampung dan membawa kepada penangkapan dua wanita masing-masing berusia 30 serta 45 tahun.

Menurut Pakar Sosial Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Zaid Ahmad, kes itu kemungkinan besar mewakili beberapa lagi insiden yang sama tetapi tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.

“Kejadian seperti ini akan merosakkan institusi sosial dan kekeluargaan kerana sanggup menjadikan anak sebagai modal atau cara menyelesaikan masalah.

“Keluarga merupakan tempat anak-anak berlindung dan bergantung. Sekiranya institusi ini kucar-kacir, apa akan terjadi kepada generasi muda kita pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Modal insan

Tambahnya, perkara itu harus diberi perhatian dan penelitian serius kerana ia melibatkan masa hadapan anak-anak muda yang sepatutnya menjadi modal insan terbaik.

Ujar Zaid lagi, kita juga perlu melihat perkara ini daripada pelbagai aspek sehingga mendorong si ibu untuk berbuat demikian seperti kesempitan hidup melampau sehingga tiada jalan keluar lain.

Sehubungan itu, sokongan sosial sangat penting dalam menangani masalah tersebut kerana mereka memerlukan tempat mengadu dan pertolongan.

“Tidak dinafikan, kita mempunyai tempat-tempat tertentu untuk mendapatkan bantuan. Sebagai contoh, orang Islam mempunyai pusat zakat, baitulmal dan dana masjid.

“Namun, walaupun bukan seagama dengan kita, pertolongan juga harus dihulurkan kerana Islam merupakan agama pemberi rahmat sekalian alam, malah menjadi salah satu jalan dakwah,” jelasnya.

Sementara itu, Pensyarah Psikologi, Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, Prof. Datin Dr. Noran Fauziah Yaakub berkata, remaja yang menjadi mangsa perdagangan seks kemungkinan akan mengalami trauma dan memerlukan pemulihan segera.

“Pada peringkat awal, mangsa akan mengalami trauma fizikal dan seterusnya mengganggu kesihatan mental.

“Jika mangsa tidak mendapat bantuan segera dan perkara tersebut dipendam sekian lama, ia akan menyebabkan gangguan psikologi serta daya fikiran.

“Justeru, mangsa memerlukan pelbagai cara pemulihan daripada aspek psikologi dan agama bagi memulihkan kembali semangat serta meredakan emosi,” terangnya.

Tutur Noran Fauziah, umur 14 tahun merupakan fasa anak-anak beralih ke alam dewasa.

Jika menjadi mangsa seks pada usia ini, akan terjadi dua kemungkinan iaitu ketagihan seks dan trauma.

Mengulas mengenai situasi si ibu, Noran berpendapat, kemungkinan dia turut mengalami masalah psikologi kerana orang yang berfikiran normal tidak sanggup merosakkan anak sendiri sebaliknya memilih untuk bekerja keras untuk melihat cahaya matanya berjaya.

Jelasnya lagi, kemungkinan juga si ibu merupakan penagih dadah sehingga hilang kewarasan dan pertimbangan yang rasional.