Hijab sedondon harga mampu milik

Lebih 15 jenis tudung sedondon seperti tudung instant, shawl dan skarf ditawarkan.


setiap kali tiba Hari Raya Aidilfitri, Norasikin Kamisan, 38, sukar mencari tudung dengan rekaan dan warna sedondon untuk keluarganya.

Wanita kelahiran Muar, Johor itu terpaksa pergi ke banyak premis bagi mendapatkan tudung yang bersesuaian untuk dua orang anak perempuan.

“Kebanyakan kedai tidak mempunyai stok tudung mengikut rona warna sama dalam kuantiti yang banyak.

“Kadangkala, tudung itu hanya boleh didapati untuk saiz wanita dewasa tetapi tiada saiz kanak-kanak.

“Kalau ada tudung sedondon untuk ibu dan anak-anak, pasti semua ini menjadi lebih mudah,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Melihat kepada permasalahan tersebut, Nora Ghazali, 42, terpanggil untuk menghasilkan produk hijab sedondon bagi memenuhi kehendak pasaran. Nora menyifatkan, langkahnya mengusahakan hijab sedondon dengan label Ferdascarf sebagai solusi kepada permasalahan dalam menggayakan hijab sedondon.

Berbekalkan modal RM10,000, Ferdascarf mula diperkenalkan sekitar April lalu menerusi butik fizikal pertamanya yang terletak di pusat beli-belah Giant Tunjung, Kota Bharu, Kelantan.

Misi utama jenama tersebut adalah sebagai memudahkan individu untuk mencari tudung dengan rekaan dan warna yang sama.

“Ferdascarf tidak hanya tertumpu kepada hijab sedondon untuk kegunaan para ibu dan anak semata-mata.

“Ia juga sangat sesuai untuk kumpulan besar seperti rombongan ahli masjid, marhaban mahupun persatuan.

“Bahkan, pembelian dalam kuantiti banyak membolehkan individu mendapatkannya pada harga borong yang lebih murah,” jelasnya.

Tambah Nora, minat yang mendalam dalam bidang fesyen mendorongnya untuk menghasilkan pelbagai rekaan baju yang menarik termasuk tudung selama 25 tahun berkecimpung dalam industri itu.

Peminat

Ferdascarf terletak di pusat beli-belah Giant Tunjung, Kota Bharu,Kelantan.


Menceburkan diri dalam dunia fesyen sejak usia awal remaja membuatkan Nora sudah masak dengan asam garam bidang tersebut.

Sehubungan itu, Nora yakin jenama hijab sedondon Ferdascarf yang diperkenalkannya itu pasti dapat menembusi hati peminat trend hijab tempatan.

Meskipun begitu, Nora mengakui dirinya perlu berdepan dengan perasaan bimbang andai jenamanya itu jika tidak mendapat sambutan ketika ia mula diperkenalkan.

Meskipun terpaksa bersaing dengan jenama-jenama terkenal, Nora percaya koleksi hijab miliknya itu mempunyai kelebihan tersendiri. Dia menawarkan konsep yang berbeza selain tawaran kualiti yang setanding jenama hijab terkemuka.

Ferdascarf yang membawa maksud muda dan trendy menawarkan rangkaian produk hijab pada harga yang jauh lebih murah serta mampu milik.

“Ferdascarf menawarkan lebih 15 jenis tudung seperti tudung instant, shawl dan skarf daripada material yang pelbagai.

“Antaranya ialah fabrik sifon, crepe, satin silk dan kain jersi,” tambahnya.

Tudung bercetak


Selain menjual tudung, Nora juga menawarkan khidmat nasihat penggayaan kepada pelanggannya.


Terbaharu, koleksi tudung yang diperkenalkan Ferdascarf ialah daripada material satin velvet.

Ia memiliki ciri khas halus dan licin pada permukaan selain mirip kain sutera.

Selain itu, ia memberi kesan feminin, anggun, mewah dan elegan kepada si pemakai.

Sebagai memenuhi permintaan pelanggan yang semakin keterhadapan, Nora sentiasa merancang pelbagai jenis keluaran tudung baharu untuk dipasarkan dari semasa ke semasa.

Nora sedang merancang untuk menghasilkan projek tudung bercetak seperti skarf, shawl dan tudung instant.

Katanya, ia merupakan satu cetakan yang merangkumi pelbagai jenis rekaan tudung.

Projek tersebut dikatakan masih lagi dalam proses penyelidikan dan pembangunan, namun Nora optimis ia akan mula dipasarkan mulai awal tahun depan.

Disebabkan jenama Ferdascarf masih hijau dalam industri fesyen tanah air, Nora kini giat mempromosikan jenamanya itu sebagai pengenalan kepada golongan fashionista berhijab.

Selain butik fizikalnya di Bukit Tunjung, Ferdascarf juga kerap melibatkan diri dalam karnival dan gerai di sekitar ibu kota Kuala Lumpur untuk memperkenalkan jenamanya.

Baru-baru ini, Ferdascarf membuka kios selama hampir seminggu pada acara Bazaar Dayabumi bertempat di Kompleks Dayabumi, Kuala Lumpur.

Bahkan, Nora turut mempromosikan Ferdascarf menerusi jualan promosi alam maya My Cyber Sales 2017 anjuran Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) awal bulan lalu.

Pelanggan Ferdascarf, Adiyanti Hashim, 40-an berkata, dia sangat berpuas hati dengan tudung Ferdascarf yang dibelinya baru-baru ini.

“Harganya bawah RM69 bukan sahaja murah malah rekaannya juga sangat cantik.

“Bahkan, ia menampilkan warna-warna menarik sesuai untuk kegunaan harian.

“Paling penting sekali, ia sedia dipakai dan saya rasa cantik ketika memakai tudung tersebut,” ujarnya.