Lima himpunan busana Muslimah buah tangan Linda Scarves




MEMENUHI cita rasa wanita Muslimah, Linda Scarves menampilkan busana gaya ringkas tetapi elegan untuk dipakai ke acara kasual atau formal.

Menurut pemilik Linda Scarves, Linda Alawi, butik itu terkenal dengan rekaan pelbagai tudung menarik dan kini mengorak langkah dengan mengetengahkan busana Muslimah.

“Butik ini mengeluarkan koleksi busana gaya minimum begitu juga perinciannya yang tidak terlalu sarat sesuai dengan imej Muslimah. Namun, ia mampu menyerlahkan penampilan anda apatah lagi dipadankan dengan tudung bersesuaian.

Selesa

“Keselesaan pelanggan sangat penting bagi kami, maka saya menggunakan krep fursan yang berkualiti tinggi sebagai fabrik utama untuk menghasilkan busana-busana ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Antara busana yang dijual di butik Linda Scarves ialah Suit Sara, Suit Meena, jubah Zehra, kurung moden Dylea Lace dan blaus Raisha.

Ujar Linda, Suit Sara sangat selesa dipakai, tidak panas atau jarang, sekali gus menepati ciri-ciri baju Muslimah.

“Koleksi Sarra juga tidak mudah renyuk dan senang digosok, sesuai dipakai ke tempat kerja dalam tempoh yang panjang atau menghadiri pelbagai temu janji.

“Kami menawarkan lima warna yang menarik seperti mulberry, merah jambu kabut, hijau mint, biru langit dan merah manggis.

“Suit Sarra direka khas untuk wanita moden yang mahu kelihatan anggun sepanjang hari,” jelasnya yang telah menjalankan perniagaan tudung sejak enam tahun lalu.

Koleksi Meena pula didatangkan dengan warna seperti ungu gelap, kuning mustard, kelabu pekat dan merah jambu kabut.

Jubah

Ia juga sesuai untuk ke majlis kasual atau formal yang dipadankan dengan denim.

Selain itu, Zehra merupakan satu lagi busana indah daripada Linda Scarves. Jubah anggun itu diberi perincian pada bahagian pinggang dengan beberapa lipatan berlapis dan hiasan batu hotfix.

Persalinan ini sesuai untuk majlis-majlis formal. Terdapat lima pilihan warna yang bernada gelap seperti hijau emerald, hijau mint, kelabu, merah manggis dan biru.

Koleksi kurung moden Dylea Lace pula menggunakan fabrik krep paloma yang lebih sejuk dan dipadankan bersama renda lembut.

Persalinan ini juga mengekalkan warna gelap seperti ungu, merah jambu kabut, perang dan mocha untuk memberi kesan lebih ramping kepada si pemakai.

Tidak ketinggalan, blaus Raisha boleh dipadankan dengan jean, skirt atau palazo, malah ia juga mesra wuduk dengan perincian butang di bahagian tangan.