Polis belum terima laporan SPRM berkaitan hubungan sulit pegawai kanannya

17/10/2017 11:29am




SEPANG - Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun (gambar) mengesahkan belum menerima sebarang laporan polis daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan seorang pegawai kanan agensi itu yang dikatakan ada hubungan sulit dengan isteri orang.

Fuzi berkata, bagaimanapun siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi menyiasat perkara tersebut berdasarkan laporan polis yang diterima daripada pihak lain.

"Siasatan berjalan dan kita sedang kenal pasti (individu terlibat) kalau perlu buat siasatan akan buat siasatan.

"Setakat ini, kami belum menerima laporan polis daripada pihak SPRM dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan," katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA di sini hari ini.

Baru-baru ini akhbar berbahasa Cina melaporkan, ada individu membuat laporan polis selepas menonton satu klip video di YouTube membabitkan pegawai kanan SPRM dan wanita terbabit.

Pengadu mendakwa hubungan sulit itu menyebabkan rumah tangga wanita yang mempunyai dua anak itu musnah dan bercerai dengan suaminya pada 28 September lalu.

Terdahulu, Mohamad Fuzi menyaksikan perlantikan Asisten Komisioner Zulkifli Adam sebagai Ketua Polis Daerah IPD KLIA yang pertama.

Katanya, penubuhan IPD KLIA yang menggabungkan Balai Polis KLIA dan Balai Polis KLIA2 dilihat sebagai transformasi persiapan dan persediaan dalam menghadapi isu keselamatan di pintu masuk utama negara. - K! ONLINE