Boy Iman tidak direman di Kuantan

17/10/2017 12:21pm


Boy Iman diiring keluar oleh anggota polis di Mahkamah Majistret Kuantan.


KUANTAN - Mahkamah Majistret di sini hari ini menolak permohonan polis untuk mendapatkan perintah reman ke atas Pengarah Urusan DBI Properties, Datuk Noruliman A. Rahman atau Boy Iman.

Selain itu, Majistret Nordiana Abd. Aziz itu turut menolak permohonan polis untuk menahan reman ke atas dua lelaki yang merupakan pengarah syarikat Juta Kelulut Global Resources berusia 30 hingga 45 tahun.

Ia menyaksikan Boy Iman, 37, yang diwakili peguam Faizul Mohd. Nasir tidak dikenakan reman buat kali kedua selepas terdahulu Majistret Dianne Ningrad Nor Azahar membuat keputusan sama di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang kelmarin.

Sebelum mahkamah menolak permohonan polis di sini dan Bukit Mertajam, Boy Iman telah dikenakan perintah reman dua hari berturut-turut di Ampang dan Shah Alam, Selangor serta Muar, Johor.

Selain itu, dia turut pernah direman di Sungai Petani dan Jitra, Kedah sebelum dikenakan perintah sama di Kangar, Perlis untuk disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan berhubung urusan jual beli rumah melibatkan nilai RM6.2 juta melalui Skim Perumahan DBI Properties. - K! ONLINE