Mohd. Azis, Jamawi dan Ariffin bebas reman

17/10/2017 1:07pm


Jamawi (dua dari kiri), Ariffin dan Mohd. Azis meraikan kebebasan mereka dengan jaminan SPRM di Mahkamah Majistret di sini hari ini.


KOTA KINABALU - Tiga pemuda parti politik saling berpegangan tangan meraikan kebebasan mereka selepas prosiding di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Mahkamah Majistret membebaskan  kesemua mereka dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setelah direman sejak Selasa minggu lalu.

Ketiga-tiga individu terbabit ialah Ketua Wira Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Mohd. Azis Jamman, 43; Ketua Penerangan Pemuda UMNO merangkap Ketua Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar, 43; dan Exco Pemuda UMNO merangkap Ketua Pemuda UMNO Tawau, Ariffin Kassim, 44.

Majistret Cindy Mc Juse Balitus membenarkan Mohd. Azis dan Ariffin masing-masing dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM50,000 bersama dua penjamin rakyat tempatan.

Jamawi pula dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM20,000 tanpa deposit juga bersama dua penjamin rakyat tempatan.

Ketiga-tiga ahli politik ditahan pada Isnin minggu lalu bagi membantu siasatan penyelewengan dana berjumlah RM1.5 bilion yang diperuntukkan kepada Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) untuk membangunkan Sabah.

Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. - K! ONLINE

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd. Faliq Basiruddin manakala kesemua individu diwakili peguam masing-masing.

Mohd. Azis diwakili Martin Tommy; Loretto Padua Jr; Norazmi Alimat; Jaikol Situn; Cedric Choo dan Darrel Leiking.

Jamawi pula diwakili barisan peguam, Arthur Borine; Shahlan Jufri; Mohd Azhier Farhan Arifin; Jaafar Esteben dan Razali Razi, manakala Ariffin diwakili peguamnnya Hamid Ismail. -K! ONLINE