Empat Laskar Kanan TLDM didakwa cedera, ugut dua rakan sekerja

17/10/2017 1:35pm


Empat tertuduh dibawa keluar dari mahkamah hari ini.


LUMUT - Seorang Laskar Kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang didakwa membunuh dua anggota minggu lalu dihadapkan sekali lagi ke Mahkamah Majistret Seri Manjung dekat sini hari ini atas lapan pertuduhan mencederakan dan mengugut dua lagi Laskar Kelas 1 di Bilik Tahanan Unit TLDM Sungai Wangi, Sitiawan bulan lalu.

Tertuduh, Mohd. Izhrifikri Roslee, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan terhadapnya yang dibacakan di hadapan Majistret Nur Syaqira Ibrahim.

Mengikut tiga pertuduhan, Mohd. Izhrifikri didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Mohd. Farhan Md. Said, 30, dengan memukul tapak kaki mangsa di padang kawat Bilik Tahanan Unit TLDM Sungai Wangi, Sitiawan antara pukul 8 malam 12 September hingga 12 tengah hari 14 September lalu.

Tertuduh turut didakwa tiga lagi pertuduhan mendatangkan kecederaan ke atas Mohd. Syaiful Nizam Mardzuki, 30, dengan memukul tapak kaki mangsa di tempat sama antara pukul 10 pagi 21 September hingga 12 tengah hari 23 September lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mohd. Izhrifikri juga didakwa atas dua pertuduhan menakutkan secara jenayah kedua-dua mangsa dengan menyatakan mangsa akan dibelasah sehingga mati selain ahli keluarga mangsa diancam sekiranya memberi kenyataan yang benar kepada pihak polis di lorong hadapan sel nombor 4 dan 7, Bilik Tahanan Unit TLDM Sungai Wangi, Sitiawan antara pukul 2 hingga 3 petang 29 September lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleb dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu, tiga lagi Laskar Kanan TLDM iaitu Hamzah Zakaria, 35; Mohd. Farham Mohd. Azmi, 32 dan Saifulnizam Razaly, 37, masing-masing didakwa mendatangkan kecederaan terhadap mangsa Mohd. Farhan dengan memukul tapak kaki mangsa antara pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari 13 September lalu. - K! ONLINE